SKUAD Harimau Malaya perlu kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bulan ini tanpa terus dibayangi isu penggantungan tujuh pemain warisan.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, walaupun badai melanda skuad negara susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen, pemain tidak boleh terus hanyut dengan kontroversi tersebut.
“Sedikit sebanyak mesti ada terkesan. Kerana rata-rata di luar sana pun sudah mula memberi perhatian dan nama Malaysia ini disebut di banyak tempat.
“Tetapi kita harap pemain tidak terbawa-bawa dengan apa yang berlaku ini. Mereka perlu fokus kepada tugas masing-masing sahaja,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara telah dihukum oleh FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM telah dikenakan denda RM1.8 juta dan tujuh pemain warisan tersebut iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca didenda serta digantung 12 bulan.
Menurut Sulaiman, kehilangan tujuh pemain tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan kerana skuad kebangsaan masih memiliki barisan pemain yang mampu diharapkan.
“Bagi saya, kita tidak perlu terlalu memikirkan tentang kehilangan tujuh pemain itu. Kita masih ada pemain lain yang boleh menggalas cabaran.
“Yang paling penting, jurulatih kebangsaan kena percaya dengan pemain yang ada. Jadi, panggilan pemain untuk aksi menentang Laos ini saya yakin cukup kuat,” katanya.
Menurutnya, aspek taktikal dan bagaimana pengendali skuad kebangsaan mengolah kekuatan pemain menjadi penentu kepada prestasi pasukan.
“Cuma bagaimana jurulatih nak olah dan memastikan semua pemain bermain dengan sehabis baik, itu bergantung kepada kepakaran jurulatih itu sendiri.
“Bagi saya, semua pemain yang dipanggil kali ini sedang beraksi cemerlang, sama ada dalam liga tempatan atau di luar negara. Jadi kita boleh percaya mereka mampu menggalas cabaran negara walaupun tanpa tujuh pemain warisan,” ujarnya.
Harimau Malaya akan berdepan Laos di Vientiane pada 9 Oktober sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober 2025.