DALLAS: Ibu negara Sepanyol, Madrid bertukar menjadi lautan merah kuning apabila ribuan penyokong membanjiri jalan raya meraikan kejayaan skuad kebangsaan menewaskan Perancis 2-0 pada separuh akhir Piala Dunia 20216, sekali gus membawa La Roja selangkah lagi untuk menjulang gelaran dunia kedua dalam sejarah negara itu.
Sorakan, nyanyian dan bunyi hon kenderaan bergema di seluruh Madrid sebaik sahaja wisel penamat ditiup di Stadium Dallas, Arlington dengan para penyokong membanjiri kawasan tumpuan termasuk Dataran Colon menyaksikan detik bersejarah tersebut bersama-sama.
Sepanyol menamatkan impian Perancis untuk menjulang Piala Dunia buat kali ketiga apabila berjaya mengekang jentera serangan penuh bintang Les Bleus yang jelas tergamam, malah gagal menemui jalan bangkit melainkan terpaksa menelan hari yang amat mengecewakan.
Mikel Oyarzabal meletakkan juara Piala Dunia 2010 itu di hadapan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang pada babak pertama di Arlington, Texas, sebelum Pedro Porro menggandakan kelebihan Sepanyol pada separuh masa kedua.
Sentuhan taktikal pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente sekali lagi menjadi pemisah apabila Sepanyol mempamerkan persembahan sempurna untuk meranapkan impian Perancis.
Kemenangan itu bukan sekadar hasil ketajaman penyudah, malah lahir daripada perancangan rapi yang berjaya mematikan senjata utama Les Bleus yang jelas bergelut untuk menembusi pintu gol Sepanyol yang dikawal, Unai Simon.
Sekiranya Sepanyol mengekalkan disiplin serta kehebatan taktikal yang dipamerkan untuk menewaskan Perancis, bermakna La Roja boleh dianggap memiliki segala ramuan untuk menamatkan penantian selama 16 tahun bergelar juara dunia. – UTUSAN






