Mahkamah benar Najib tangguh bayar AS$1.3 bilion kepada SRC

Mahkamah benar Najib tangguh bayar AS.3 bilion kepada SRC


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn. Bhd.

Hakim, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati wujud keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut sementara rayuan Najib belum diputuskan.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Ahmad Fairuz berkata, mahkamah mengambil kira jumlah penghakiman luar biasa dalam kes tersebut yang melebihi RM5 bilion.

Ujarnya, mahkamah turut mengambil kira bahawa Najib pada masa sama berdepan penghakiman kewangan lain dalam prosiding yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, beliau berkata, Najib turut berdepan denda susulan sabitan jenayah yang masih perlu dijelaskan bagi mengelakkan tempoh pemenjaraannya dilanjutkan.

“Setelah mengambil kira faktor-faktor dalam kes ini, mahkamah berpuas hati bahawa wujudnya satu keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman sementara menunggu rayuan.

“Oleh itu, adalah lebih wajar kes ini diputuskan secara muktamad di peringkat tertinggi sebelum sebarang pelaksanaan penghakiman dibenarkan,” katanya dalam prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom.

Dalam pada itu, Hakim Ahmad Fairuz menolak hujahan SRC supaya penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut perlu diberikan secara bersyarat selepas mendapati syarat itu tidak realistik untuk dipatuhi Najib.

“Dalam menggunakan budi bicara, mahkamah perlu mengambil kira sama ada perintah sedemikian boleh dipatuhi secara realistik. Jawapannya adalah jelas, ia tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, hak SRC untuk menikmati hasil penghakiman itu tidak terhapus, sebaliknya hanya ditangguhkan sementara menunggu rayuan Najib diputuskan.

“Bagaimanapun, defendan akan mengalami prejudis yang tidak boleh dipulihkan sekiranya pelaksanaan penghakiman itu diteruskan.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman sementara menunggu pelupusan akhir rayuannya,” katanya.

Berhubung isu kos, mahkamah memerintahkan Najib membayar RM2 juta kepada peguam SRC, selain RM150,000 kepada setiap set peguam dalam prosiding pihak ketiga.

Pada 31 Mac lalu, mahkamah memerintahkan Najib membayar AS$1.3 bilion kepada SRC selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Dalam penghakimannya pada tarikh itu, Hakim Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata, mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.

Najib kemudian memfailkan notis rayuan pada 8 April lalu, diikuti permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman pada 9 April lalu sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan.

SRC memfailkan saman pada Mei 2021 dengan menamakan bekas pengerusi syarikat, Ismee Ismail, serta bekas pengarahnya, Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai defendan-defendan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Lim Chee Wee mewakili SRC manakala peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top