'Mak Yah' bersyukur akhirnya dapat jumpa keluarga selepas 42 tahun terpisah

'Mak Yah' bersyukur akhirnya dapat jumpa keluarga selepas 42 tahun terpisah



am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: “Saya bersyukur sekurang-kurangnya dapat menyampaikan salam arwah ibu serta hasratnya untuk meminta maaf daripada nenek pada hari ini,” kata wanita warga Indonesia, Chichi Novalena.

Chichi Novalena, 35, yang juga cucu kepada warga emas, Syakyah Calid, 72, atau ‘Mak Yah’ yang terputus hubungan dengan keluarganya di Indonesia selama 42 tahun berkata, dia tidak menjangka berpeluang untuk bertemu neneknya selepas lama terpisah.

Menurutnya, ibunya, Mariani Jafrin meninggal dunia pada Oktober 2018 (pada usia 50-an) akibat barah payu dara dan arwah sempat meninggalkan pesanan untuk disampaikan kepada neneknya itu.

Katanya, ketika menderita barah, ibunya cuba mengesan neneknya termasuk di beberapa lokasi di Johor iaitu di Pulai dan Skudai, namun gagal.

“Saya umpama bermimpi apabila dapat menjejak kasih dengan nenek namun bersimpati melihat keadaannya yang uzur.

“Saya bersama bapa, Ruslan Sarit yang berusia 63 tahun dan anak lelaki saya, Al Faith Akmal, berumur tujuh tahun, tiba di Johor, jam 9 pagi sebelum ke Flat Jalan Balau di Taman Rinting untuk bertemu nenek,” katanya.

Menurutnya, neneknya memiliki enam beradik namun seorang sudah meninggal dunia dan adik-beradiknya yang lain juga tidak dapat hadir atas faktor usia.

“Saya berterima kasih kepada jiran nenek yang banyak membantunya dan memberi penjagaan kepadanya.

“Kami berharap keadaan nenek semakin sembuh dan dapat ke Tanjung Balai di Karimun, Indonesia untuk bertemu ahli keluarga,” katanya.

Hadir sama Presiden Permata Baiduri Malaysia merangkap Wanita Ikon Johor Faridah Hamzah.

Sementara itu, Mak Yah berkata, dia amat berterima kasih kepada Permata Baiduri Malaysia yang mengatur pertemuan berkenaan.

“Saya gembira apabila dapat bertemu dengan menantu, cucu dan cicit yang datang secara mengejut.

“Pertemuan ini amat bermakna bagi saya, ia memberi semangat kepada saya untuk melawan sakit kerana mahu ke Indonesia untuk bertemu adik-beradik,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Harian Metro melaporkan kisah Mak Yah dan suaminya, Ismail Youb, 74, yang meneruskan kehidupan dengan ihsan jiran.

Sejak mengalami masalah kesihatan, Mak Yah dan suaminya dijaga jiran termasuk Lim Mook Yee, 58, dan Siti Khadijah Hassan, 55.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top