sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang tampil dengan ‘wajah baharu’ dalam saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 menyasarkan kedudukan yang lebih baik berbanding musim 2025/2026.
Pada musim lalu skuad Penyu itu sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima selain gagal melangkah ke peringkat separuh akhir dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, sasaran untuk memperbaiki pencapaian musim sebelum ini adalah realistik berdasarkan pemain dan barisan kejurulatihan.
“Setiap musim sudah pasti kami dan juga peminat setia skuad Penyu mahukan pencapaian yang lebih baik berbanding pencapaian musim sebelumnya.
“Jika musim lalu kami menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima dan gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA, jadi pada musim ini kami menyasarkan kedudukan yang lebih baik berbanding pencapaian itu.
“Kami berkeyakinan KPI (petunjuk prestasi utama) bakal menjadi kenyataan berdasarkan senarai pemain yang ada selain kehadiran jurulatih yang pernah membantu skuad itu mara ke pentas final dan Asia Tenggara sebelum ini.
“Sasaran awal tempat kelima liga kerana saingan sudah pasti lebih sengit lagi musim ini, tapi jika dapat tempat lagi baik ia bonus buat pasukan,” ujar Mohd Syahrizan ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjjian dengan Klinik Perubatan Wildan yang turut dihadiri Pengarah Klinik Wildan Batu Rakit, Dr Mujahid Sabri Mohd, hari ini.
“Musim ini adalah kali kedua Klinik Wildan menjadi antara penaja TFC, kami mengharapkan kelab itu mampu menjadi antara pencabar terkuat dalam saingan Liga M nanti,” ujar Dr Mujahid ketika ditemui.
Dalam perkembangan lain, Mohd Syahrizan berkata setakat ini pihaknya berjaya mengumpul jumlah penajaan bernilai RM3 juta daripada 19 syarikat dalam bentuk wang tunai, barangan dan juga perkhidmatan.
“Jumlah penajaan hampir sama sebagaimana musim sebelum ini, sebahagian besar penaja juga adalah dalam kalangan syarikat yang sama, jadi pihak kami menghargai kepercayaan yang diberikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
