Pentagon pertimbang kecilkan jumlah tentera AS di Asia Barat


WASHINGTON: Pentagon sedang menilai semula penempatan askar Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, susulan perang dengan Iran yang berpotensi mengubah kehadiran tentera negara itu di rantau berkenaan.

Menurut laporan The Washington Post yang memetik sumber semalam, Pentagon sedang mempertimbangkan pengurangan jumlah anggota tentera AS di rantau Teluk, selepas beberapa pangkalan utama negara itu mengalami kerosakan akibat serangan Iran selama beberapa bulan.

Kerosakan berkenaan membuka ruang untuk AS menilai semula strategi ketenteraannya di rantau itu, dengan beberapa pegawai memberi petunjuk sebahagian pangkalan mungkin tidak dibina semula dalam bentuk asal.

Kajian berkenaan diketuai pejabat dasar Pentagon, manakala Ketua Turus Bersama dan Komando Pusat AS (CENTCOM) turut menjalankan penilaian terhadap perkara itu, menurut laporan berkenaan.

Seorang pegawai kanan Pentagon berkata, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, tidak mengarahkan sebarang kajian rasmi, sebaliknya menyifatkan usaha itu sebagai ‘perancangan berhemah’ yang boleh membantu dalam membuat keputusan mengenai pembinaan semula pangkalan rosak.

“Keputusan perlu dibuat berhubung sebahagian perkara ini,” kata pegawai berkenaan.

CENTCOM biasanya menempatkan kira-kira 40,000 anggota tentera di hampir 20 lokasi yang merentasi rantau dari Jordan hingga Oman.

Sejak awal tahun ini, Washington mengerahkan kapal perang, pesawat pejuang dan sistem pertahanan udara tambahan ke rantau berkenaan, selain melancarkan lebih 13,000 serangan terhadap Iran.

Pangkalan tetap AS terbesar di rantau itu tertumpu di kawasan Teluk, termasuk ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain serta kemudahan utama Tentera Darat dan Tentera Udara di negara seperti Kuwait.



Source link

OR

Scroll to Top