Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan menjalankan kajian penuh berhubung cadangan memperkenalkan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perkara-perkara ini perlu dipertimbangkan
Memetik laporan daripada Astro Awani, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberikan masa untuk menyediakan laporan berhubung cadangan itu sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.
Menurutnya, cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek, termasuk pengajaran daripada pelaksanaan GST sebelum ini serta isu yang dihadapi di bawah sistem SST ketika ini.
“Jadi, perkara-perkara ini akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincangkan dan diputuskan di Jemaah Menteri,” katanya dalam sidang media mingguan kementeriannya.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, tiada tempoh khusus diberikan untuk menyelesaikan kajian berkenaan atau bila keputusan mengenai cadangan sistem percukaian hibrid itu akan dibuat.
Cadangan tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan meneliti kaedah terbaik untuk menambah baik sistem percukaian negara supaya lebih berkesan dan progresif.
Terdahulu pada Selasa, Perdana Menteri berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Justeru, sebarang keputusan berkaitan sistem percukaian hibrid itu hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan Kementerian Kewangan dan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.
Sumber: Astro Awani (Madiha Abdullah)
