July 19, 2024

Malaysia akan guna suara, keupayaannya, terus sokong perjuangan rakyat Palestin

Malaysia akan guna suara, keupayaannya, terus sokong perjuangan rakyat Palestin



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mahu Amerika Syarikat (AS) konsisten dengan pendekatan terkininya terhadap konflik di Semenanjung Gaza dan mahu negara kuasa besar itu segera menamatkan penderitaan dan pembunuhan beramai-ramai di sana.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun Malaysia konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai keengganan AS dan barat untuk mengenakan tekanan ke atas Israel, namun perkembangan mutakhir ini dianggap satu yang positif.

“Presiden (AS, Joe) Biden baru-baru ini menyatakan rasa kecewa yang semakin meningkat dengan rakan sejawatannya dari Israel. Dia juga sudah mula mendesak penerimaan kepada cadangan gencatan senjata sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan.

“Kami mengalu-alukan tanda-tanda awal perubahan dalam pendekatan AS terhadap konflik (di Gaza). Kami berharap AS akan terus kekal dengan pendekatannya dan segera untuk menamatkan penderitaan dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Prof Faiz Abdullah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan keupayaannya untuk terus bersuara dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia bukan kuasa besar, tetapi jangan lupa, kita akan menggunakan kebebasan kita untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin demi mereka.

“Krisis kemanusiaan yang kita lihat hari ini bukanlah bencana abstrak. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan ini menjadi satu lagi bab pembunuhan beramai-ramai dan memindahkan sejumlah sejarah kekejaman yang dilakukan, diiktiraf dan kemudian secara tragis, diabaikan,” katanya.

Anwar berkata, biarpun Malaysia mengambil pendekatan terus mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan utama perdagangannya itu, namun terdapat situasi yang memerlukan campur tangan tanpa ragu-ragu dan tegas.

“Saya bercakap di sini tentang jenayah perang, kekejaman terang-terangan yang dilakukan di medan pembunuhan dengan alasan untuk mempertahankan diri.

“…dan penaklukan penjajah yang tidak lain sebagai kempen pembunuhan beramai-ramai yang sistematik untuk menggantikan seluruh populasi penduduk asalnya,” katanya.

Media antarabangsa pada 2 Jun lalu melaporkan pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan AS menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh AS untuk gencatan senjata yang berkekalan.

Negara pengantara itu turut menekankan bahawa perjanjian berkenaan menawarkan jalan baru untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top