Putrajaya: Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperkukuh hubungan dua hala menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) secara ‘fast track‘, selain memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah mengarahkan Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perdagangan serta kementerian berkaitan mengambil langkah memperkukuh hubungan kedua-dua negara melalui FTA dan kerjasama komprehensif dalam pelbagai bidang.
“Kerjasama itu tidak seharusnya terhad kepada perdagangan dan pelaburan semata-mata, walaupun kedua-duanya kekal sebagai aspek yang amat penting.
“Sebaliknya, ia perlu diperluaskan kepada penyelidikan, sains dan teknologi baharu, semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI), memandangkan bidang-bidang ini adalah cabaran dan peluang masa depan untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Anwar berkata, pertukaran nota yang dimeterai turut meliputi kerjasama kebudayaan, penyelidikan berkaitan pencegahan keganasan serta usaha mempromosikan dan memudah cara pelaburan.
Katanya, prestasi perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh masih belum mencapai potensi sebenar walaupun negara berkenaan mempunyai pasaran yang besar.
“Bangladesh ialah sebuah negara besar dengan potensi yang sangat besar dan bersama Malaysia, kita perlu meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.
“Kerjasama juga perlu diperluaskan ke bidang baharu selain pertanian yang kekal sebagai sektor penting, termasuk semikonduktor, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Sementara itu, Tarique berkata, kedua-dua negara mengalu-alukan peningkatan perdagangan dua hala dan bersetuju meneruskan rundingan bagi memuktamadkan FTA Bangladesh-Malaysia.
“Keutamaan kami ialah mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing dan mempercepat pertumbuhan ekonomi serta kami sedang membina persekitaran yang mesra perniagaan serta membuka peluang baharu kepada pelabur.
“Saya melihat potensi besar untuk pelaburan Malaysia di Bangladesh dan dengan penuh hormat menjemput syarikat-syarikat Malaysia meneroka peluang terbabit,” katanya.
Katanya, perbincangan antara kedua-dua pemimpin turut meliputi pelbagai bidang strategik termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tenaga, infrastruktur, tenaga kerja, industri halal, industri pemprosesan agro, pendidikan, pembangunan kemahiran, pertahanan, ekonomi digital, semikonduktor serta sektor bernilai tinggi yang lain.
“Pekerja, pelajar, golongan profesional dan usahawan Bangladesh di Malaysia menjadi jambatan penting yang menghubungkan kedua-dua negara, selain memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat kedua-dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






