Malaysia juara Sukan SEA Pekak 2025

Malaysia juara Sukan SEA Pekak 2025


Kontinjen Malaysia menutup tirai Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dengan kutipan 25 pingat emas di temasya edisi kedua kali ini.

KONTINJEN Malaysia menutup kempen Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dengan penuh bergaya apabila muncul juara keseluruhan selepas mencipta rekod kutipan 25 pingat emas di temasya edisi kedua itu.

Pencapaian luar biasa diraih kontinjen negara tersebut sekali gus mengatasi kutipan 15 emas yang diraih pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.

Skuad 80 atlet dan pegawai negara membuktikan semangat juang tinggi apabila menampilkan prestasi cemerlang pada hari terakhir saingan sehingga menyumbang deretan pingat emas.

Lebih manis, kejayaan bersejarah itu hadir menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, selain menjadi hadiah buat rakyat Malaysia selepas kerajaan menyalurkan peruntukan RM3 juta bagi persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa utama termasuk Deaflympics, November depan.

Acara catur terus menjadi lubuk emas apabila Ainur Ashikin Jupineh, 16, menghadiahkan emas ke-22 menerusi kategori Blitz Wanita, manakala rakan sepasukan, Loo Pin Xie, turut mencatat kejayaan berganda dengan menjuarai kategori Blitz Lelaki.

Sementara itu, arena tenpin boling terus mendominasi dengan Ho Choon Seong menjuarai Masters Lelaki (1,795 jatuhan pin) dan Siw Sing Hie meraih emas ke-25 dalam Masters Wanita (1,491 jatuhan pin).

Secara keseluruhan, Malaysia mengutip emas menerusi olahraga (10), boling (8), catur (5) dan badminton (2), selain meraih 16 perak dan 11 gangsa

Skuad futsal lelaki serta wanita pula masing-masing tampil menyumbang pingat perak edisi kali ini.

Pencapaian 25-16-11 itu bukan sahaja melangkaui sasaran awal 16 emas, malah hampir menggandakan kutipan edisi lalu, sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa besar baharu sukan pekak serantau.

 



Source link

OR

Scroll to Top