sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad e-sukan Malaysia tidak berdepan masalah besar apabila mudah muncul juara pada kejohanan sulung Honor of Kings (HoK) Nation Clash selepas menewaskan pasukan Filipina pada aksi grand final, semalam.
Dalam aksi akhir itu, Malaysia yang diwakili Homebois x Black Shrew Esport (HBSE) dan Alpha Gaming pada awalnya dijangka akan berdepan tentangan sengit daripada Blacklist International dan WeTrnd Esports, namun sebaliknya berlaku apabila meraih kemenangan 4-0 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$20,000 (RM84,270).
Menurut pemain negara, Lim Chee Hong atau Zhibong, kerjasama antara rakan sepasukan amat penting dalam permainan berpasukan kerana tanpa elemen itu, sukar bagi mana-mana skuad untuk mencapai kejayaan.
“Saya tidak kisah siapa pun rakan sepasukan kerana saya percaya mereka. Sebab itu kepercayaan amat penting dalam permainan, dan malam ini (semalam) kami percaya antara satu sama lain sebab itu kami juara,” katanya.
Selain itu, pemain HBSE, Wong Yit Siang, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (FMVP) di pentas final selepas mempamerkan aksi cemerlang untuk membantu pasukannya menjuarai kejohanan berkenaan.
Kejohanan itu menyaksikan enam pasukan kebangsaan dari Malaysia, Filipina dan Indonesia berentap selama empat hari bermula Khamis lalu. Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa baharu yang semakin meningkat dalam arena HoK peringkat serantau.
Selepas ini, Malaysia akan menyertai Honor of Kings International Championship (KIC) yang dijadual berlangsung di Manila, Filipina, dari 14 hingga 30 November depan, dengan jumlah hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM4.21 juta) menjadi rebutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






