Malaysia kecam serangan Israel ke atas petugas bantuan kemanusiaan di Rafah

Malaysia kecam serangan Israel ke atas petugas bantuan kemanusiaan di Rafah


Putrajaya: Malaysia dengan tegas mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam Tentera Rejim Israel (IOF) pada Jumaat di Rafah, yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan dan petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan, termasuk mereka yang mengendalikan bantuan dari Malaysia melalui Ops Ihsan.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan, dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Tindakan kejam ini oleh Israel mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi. Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik,” kata Wisma Putra.

Kementerian itu berkata sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah dilakukan mereka.

“Di mana Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lalu jelas menunjukkan sebaliknya, Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas.

“Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat yang kesakitan, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Wisma Putra ini adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu, dan nyawa sukarelawan mereka terancam tanpa sebab.

“Serangan pertama berlaku pada 14 Mac 2024 yang meragut nyawa lapan orang Palestin dan mencederakan lebih daripada 20 yang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top