July 18, 2024

Malaysia labuh cabaran AUG 2024 dengan cemerlang

Malaysia labuh cabaran AUG 2024 dengan cemerlang


KONTINJEN negara melabuhkan tirai pertarungan 11 hari Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 dengan status cemerlang selepas melepasi sasaran 35 pingat emas dan kelompok tiga terbaik ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pungutan hari ke-11 menyaksikan skuad memanah compound negara menutup hari terakhir dengan dua lagi tambahan emas, biarpun sepatutnya menambah satu lagi medal dalam acara memanah compound berpasukan wanita namun tidak dikira dalam jumlah pungutan pingat memandangkan hanya dua negara menyertainya.

Secara keseluruhan kontinjen negara berjaya mengumpul sebanyak 38 pingat emas, 45 pingat perak dan 60 pingat gangsa.

Kontinjen negara memasuki Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang.

Kontinjen negara memasuki Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang.

Pada majlis penutup perarakan masuk dimulakan kontinjen Brunei Darussalam, Kemboja, Laos diikuti Malaysia yang diketuai ketua kontinjen Malaysia ke AUG Surabaya-Malang 2024, Suhairi Ismail.

Kemudian menyusul kontinjen Myanmar, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste sebelum Vietnam menyemarakan temasya bertemakan Raga Membara di Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang, Malang pada Sabtu.

Fazidah (kanan) menerima bendera AUSC simbolik Malaysia sebagai tuan rumah AUG 2025.

Fazidah (kanan) menerima bendera AUSC simbolik Malaysia sebagai tuan rumah AUG 2025.

Temasya kali ini melibatkan universiti di Surabaya dan Malang – Universitas Islam Malang (Unisma), Universitas Negeri Malang (UM), Universitas Brawijaya (UB), Universitas Muhammadiyah Malang (UMM), Universitas Negeri Surabaya (Unesa), Universitas Airlangga (Unair), Universitas Surabaya (Ubaya), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), dan Universitas Pembangunan Nasional (UPN) Surabaya.

Pada majlis penutup itu, Setiausaha Bahagian Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Fazidah Mustafa hadir menerima bendera Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) simbolik kepada Malaysia yang akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 pada 2025 temasya dwi tahunan berkenaan.

Sebagai rekod, kontinjen negara dengan kekuatan 275 atlet bertarung dalam 19 daripada 23 sukan meraih 49 pingat emas, 83 pingat perak serta 50 pingat gangsa edisi Ubon Ratchathani 2022 di Thailand.



Source link

OR

Scroll to Top