PUTRAJAYA – Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai di antara Fatah dan Hamas menerusi Deklarasi Beijing demi menamatkan konflik di Palestin.
Menurut jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, kerajaan dalam masa yang sama menghargai usaha Republik Rakyat China yang mempertemukan 14 fraksi (pemimpin dunia) yang membentuk perjuangan Palestin.
Dalam sidang media hari ini, Fahmi berkata, dalam Kabinet juga menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pencerobohan Israel terhadap Palestin yang dianggap jelas menyalahi undang-undang dan memerlukan tindakan tegas.
Sehubungan itu, Fahmi berkata, Malaysia akan segera menghubungi sejumlah negara termasuk Indonesia dan Brunei untuk menyuarakan gesaan yang sama menerusi forum antarabangsa.
Sebelum ini, ICJ memutuskan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan perlu dihentikan segera.
ICJ berkata, Israel perlu menghentikan serta-merta semua aktiviti penempatan baharu dan memindahkan semua peneroka dari tanah yang diduduki.- MalaysiaGazette