Malaysia sasar jadi pembekal minyak sawit terbesar di Pakistan, Asia Tengah

Malaysia sasar jadi pembekal minyak sawit terbesar di Pakistan, Asia Tengah


PETALING JAYA: Malaysia bersedia menjadi pemain industri terbesar dalam pembekalan minyak sawit di Asia Tengah, khususnya Pakistan pada masa hadapan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau menerima banyak pandangan daripada penggiat industri di negara itu untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat.

Katanya, penggiat industri mahu Malaysia menjadi pembekal kepada bukan sahaja di Pakistan, malah di Asia Tengah dengan negara itu menjadi hab untuk eksport produk sawit di rantau berkenaan.

“Saya baru sahaja habis berdialog dengan pemain industri tulen di Pakistan yang bertanggungjawab dalam pengedaran tiga juta tan metrik minyak sawit dan banyak daripadanya mahu Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat dan menjadi pengedar utama produk minyak sawit ke negara ini.

“Tiga syarikat Malaysia iaitu FGV Holdings Bhd., IOI Corporation Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) berjaya mengadakan kerjasama di negara ini untuk tempoh 10 tahun.

“Mereka (penggiat industri) mahu Malaysia untuk terus ke sini membawa pelabur dan pada masa akan datang untuk kita mengeluarkan produk minyak sawit dan memberi keutamaan kepada Pakistan mengedarkan kelapa sawit di Pakistan dan Asia Tengah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan meja bulat bersama penggiat utama industri minyak dan lemak Pakistan.

Johari mengetuai delegasi Malaysia ke Pakistan yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan; pegawai kanan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta wakil industri daripada FGV, KLK dan IOI.

Johari juga memaklumkan pengedaran minyak sawit Malaysia di Pakistan mencecah sehingga 95 peratus pada 10 tahun lalu berbanding Indonesia ketika itu hanya lima peratus.

Bagaimanapun katanya, Indonesia kini mengedarkan sekitar 90 peratus dan Malaysia hanya 10 peratus.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama sempena Pakistan Edible Oil Conference ke-7, Johari berkata, kerjasama Malaysia-Pakistan dalam sektor minyak sawit digambarkan melalui perkongsian yang berjaya, membabitkan syarikat dari kedua-dua negara.

Memberi contoh projek kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelabuhan Qasim, katanya, ia memainkan peranan penting dalam memodenkan industri minyak masak Pakistan.

“Ia bermula dengan terminal tangki penyimpanan 16,000 tan metrik dan berkembang menjadi sistem yang komprehensif, merangkumi kilang penapisan moden, kilang pengekstrakan pelarut dan terminal kargo cecair yang kini mengendalikan lebih 90 peratus minyak sawit yang memasuki Pakistan.

“Malah, kapasiti penyimpanan keseluruhan berkembang melebihi 200,000 tan metrik,” katanya.

Jelas Johari, kehadiran Malaysia dalam tempoh jangka panjang dalam industri minyak masak di Pakistan memberikan platform yang hebat untuk meneroka peluang baharu dan memperkukuh matlamat bersama.

“Saya amat berharap untuk melihat Pakistan kembali menyertai ‘Million Ton Club’ untuk import minyak sawit Malaysia, yang mencerminkan potensi kerjasama ini. Malah, berharap dalam pertambahan kerjasama bagi produk hiliran sawit,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top