Abu Dhabi: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang politik, ekonomi dan pelaburan, pertahanan, tenaga boleh baharu (RE) dan nuklear, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu ialah hasil mesyuarat dua hala beliau dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di sini pada Selasa, serta Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai pada Isnin.
Anwar berkata lawatan beliau ke UAE kali ini turut menyaksikan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) dimeterai bagi meningkatkan kerjasama perdagangan dan pasaran negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN.
“Perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama dengan negara GCC itu sasar peningkatan eksport negara ke UAE kepada US$13.5 bilion pada 2032,” kata beliau kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke UAE di sini, pada Selasa.
Perdana Menteri berkata sewaktu lawatan kerja beliau ke UAE selama tiga hari sejak Ahad, terdapat juga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Inisiatif AI bagi meningkatkan keupayaan ekosistem keselamatan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd