Malaysiaku yang tercinta

Malaysiaku yang tercinta


Selamat Hari Kebangsaan, warga Malaysia sekalian! Saya amat bangga untuk bersama-sama anda semua meraikan Hari Kebangsaan kita yang ke-67 dan tidak lama lagi, Hari Malaysia yang ke-61.

Tahun ini menandakan tahun keempat saya berkongsi pandangan saya mengenai tanah air kita yang tercinta sebegini.

Sambutan dan maklum balas anda yang menggalakkan adalah antara interaksi yang saya hargai.

Izinkan saya mulakan dengan berita baik.

Sepanjang 12 bulan yang lalu, kita telah mengalami beberapa perkembangan positif dan peristiwa gembira.

Ekonomi kita mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang menggalakkan, ringgit kita semakin kukuh, dan inflasi terkawal.

Namun begitu, kesan ekonomi pada hakikatnya tidak sekata dan tidak seimbang.

Tidak semua rakyat Malaysia menikmati manfaat yang sama rata.

Kita perlu lebih berusaha dalam aspek ini.

Sebagai rakyat Malaysia sejati, saya begitu gembira menyaksikan dua peristiwa yang menyatukan semua rakyat Malaysia dan yang kita raikan sebagai satu negara.

Yang pertama adalah perlantikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke-17.

Yang kedua, kelihatan semangat amat luar biasa apabila semua rakyat bersatu menyokong dan bersorak untuk wira sukan kita di Olimpik Paris.

Mengapa kita tidak boleh bersatu seperti ini sepanjang masa? Sebaliknya, wujudnya kebimbangan yang semakin tinggi mengenai polarisasi yang mendalam dalam kalangan masyarakat majmuk kita.

Sudah tentu, ini bukan fenomena yang unik kepada Malaysia. Sebagai contoh, perpecahan dan polarisasi di Amerika Syarikat, iaitu kuasa terbesar di dunia, menjelang pilihan raya mereka pada November ini sungguh membimbangkan.

Begitu juga di United Kingdom, baru-baru ini berlaku rusuhan. Hal yang sama juga berlaku ketika pilihan raya Parlimen Kesatuan Eropah baru-baru ini, parti ekstremis meraih kemenangan besar.

Terdapat banyak sebab yang mencetuskan kebangkitan politik yang memecah-belahkan rakyat, namun saya percaya bahawa pengaruh dan ketoksikan media sosial adalah penyebab utama.

Isu ini kebanyakannya boleh dikaitkan dengan platform media sosial yang direka untuk menyebar pandangan ekstrem dan mensensasikan peristiwa.

Demi menarik perhatian atau populariti, bahasa yang digunakan dalam hantaran di media sosial kerap kali bersifat menyinggung perasaan dan bersifat kasar, akibatnya menjatuhkan kualiti perbincangan yang sepatutnya dijalankan secara beradab dan ikhlas.

Malah, keadaan ini berkemungkinan men-adi semakin buruk dengan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) serta penularan maklumat palsu, deepfakes, dan penipuan dalam talian.

Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, warganegara Malaysia yang bertekad

Saya percaya untuk membendung ketoksikan ini dalam media sosial, kepimpinan yang bijaksana diperlukan dalam setiap lapisan masyarakat, tanggungjawab individu dan penekanan kepada kesantunan manusiawi iaitu menangani isu-isu dan bukannya menyerang individu.

Kita mesti berpegang teguh pada nilai-nilai yang dikongsi bersama dan persamaan yang kita miliki sebagai rakyat Malaysia dan bukan sentiasa menekankan perbezaan kita.

Saya percaya, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk mengatasi hal negatif ini.

Jelas sekali, kita mesti memperkasakan sistem pendidikan untuk merangkumi kemajuan teknologi terkini dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping memupuk kemahiran berfikir secara kritis dan nilai etika yang betul.

Selain itu, penting untuk kita membina ekosistem kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan untuk memperkukuh pembangunan modal insan kita untuk menarik pelabur asing, sekali gus menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Dengan berbuat demikian, kita boleh membendung isu penghijrahan tenaga pakar dan mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya percaya bahawa pendidikan berkualiti membuka laluan yang terbaik untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan kesengsaraan.

Itulah sebabnya, sebaik sahaja saya berkemampuan, saya menubuhkan Yayasan Jeffrey Cheah untuk menjadikan pendidikan dan penyelidikan berkualiti mampu dimiliki dan lebih mudah diakses.

Yayasan ini beroperasi di bawah struktur bukan untuk keuntungan.

Sehingga kini, sukacita saya kongsikan bahawa yayasan ini telah menganugerahkan biasiswa dan geran sebanyak RM745 juta kepada ribuan belia Malaysia yang berkelayakan.

Usaha kami di yayasan ini telah membantu mengekalkan bakat muda kita di Malaysia, yang secara langsung membolehkan negara kita mencapai matlamat dan aspirasinya.

Perlu juga diingatkan bahawa negara Barat tidak lagi begitu mengalu-alukan migran. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Asia bersedia menjadi enjin pertumbuhan ekonomi global dan Malaysia berada di tengah-tengah kebangkitan semula Asia.

Terdapat banyak peluang di Malaysia

Walaupun saya sekadar insan yang kurang dikenali dari pekan kecil dan daif di Pusing, Perak, saya adalah usahawan yang amat berterima kasih kepada negara kerana peluang yang diberikan kepada saya.

Malah, Kumpulan Sunway yang saya bina sedang meraikan ulang tahun ke-50.

Ya, kita memang mempunyai masalah dan isu yang perlu ditangani sebagai sebuah negara.

Saya tidak berniat untuk menyatakan bahawa kita tidak boleh mempunyai pendapat yang berbeza. Maklumlah, kita berpegang pada prinsip demokrasi.

Namun, ingin saya tekankan bahawa janganlah kita membiarkan perbezaan kita memecahbelahkan kita mahupun memutuskan tali silaturahim yang me- nyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia sejati.

Selagi kita saling berinteraksi secara beradab, ikhlas dan santun, kita boleh membina Malaysia yang diimpikan dan aspirasi yang boleh kita semua hargai dan sanjungi.

Dalam usaha mengejar matlamat ini, saya sarankan agar kita mengamalkan integriti sebagai panduan, kerendahan hati sebagai perilaku dan mengejar kecemerlangan sebagai pilihan kita.

Mari kita bersatu dan teguh dalam usaha ini, rakyat Malaysia sekalian!

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top