Suami nak kenakan isteri dengan ganja, akhirnya dipenjara

Suami nak kenakan isteri dengan ganja, akhirnya dipenjara


Singapura: Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara hampir empat tahun selepas cuba mengenakan isterinya dengan meletakkan ganja di dalam kereta wanita itu kerana mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan wanita itu dihukum mati.

Tan Xianglong, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan oleh mahkamah daerah pada Khamis lalu, menurut dokumen mahkamah.

Pasangan itu berpisah kurang daripada dua tahun selepas memohon cerai tetapi gagal mendapatkan perceraian itu serta-merta kerana tempoh perkahwinan mereka yang singkat, kata dokumen itu.

Tan memarahi isterinya kerana beranggapan isterinya tidak memberikan sumbangan kewangan yang mencukupi untuk perkahwinan itu.

Dia berunding dengan peguam dan “muncul dengan idea perceraian boleh berlaku jika salah satu pihak mempunyai rekod jenayah”, kata dokumen itu.

Lelaki itu pada mulanya mengupah seorang penyiasat persendirian untuk mengumpul bukti isterinya melakukan hubungan dengan lelaki lain, tetapi tiada bukti mengenainya ditemukan.

Ia mendorong Tan membuat rancangan untuk mengenakan isterinya dengan meletakkan ganja di dalam kereta wanita.

Dia menyifatkannya kepada teman wanitanya sebagai rancangan yang sempurna.

Tan membeli dadah itu di pasaran gelap dan menimbangnya di rumah, mendapati ia seberat 510 gram (g) — melebihi nilai ambang 500 g untuk dikenakan hukuman mati di Singapura.

“Daripada penyelidikannya dalam talian, dia tahu pihak terbabit (isterinya) akan berdepan hukuman mati, jika disabit kesalahan mengedar lebih 500 g ganja,” kata dokumen mahkamah.

Menurut dokumen sama, Tan memutuskan untuk meneruskan rancangannya kerana sangat marah dengan isterinya.

Bagaimanapun, analisis makmal terhadap dadah itu menunjukkan ia hanya mengandungi 216.17 g ganja tulen.

Isteri Tan ditahan selepas polis menemukan dadah di dalam keretanya, tetapi mereka tidak menemukan bukti lain yang menunjukkan wanita terbabit bersalah.

Polis kemudian menyiasat Tan, yang kemudiannya membawa kepada penahanan lelaki itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top