Malaysian Tigress sasar separuh akhir Piala Negara-Negara Wanita 2

Malaysian Tigress sasar separuh akhir Piala Negara-Negara Wanita 2


SKUAD hoki wanita kebangsaan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Wanita 2 di Poland pada 16 hingga 22 Jun ini.

Skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu diletakkan di dalam Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Uruguay dan tuan rumah, Poland.

Ketua Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, sasaran itu dianggap realistik memandangkan Malaysia merupakan pasukan kedua terkuat di dalam Kumpulan A selepas Afrika Selatan.

“Saya ada berbincang dengan barisan kejurulatihan dan kita harap dapat layak ke separuh akhir kerana format kejohanan ini sama seperti Piala Negara-Negara FIH lelaki dengan juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

“Jadi sasaran pertama kita adalah untuk jadi dua terbaik (kumpulan). Malah berdasarkan ranking semasa, kita adalah pasukan kedua terbaik dalam Kumpulan A. Jadi kita harap dapat melakukan yang terbaik nanti,” katanya.

Beliau sebelum itu mengumumkan barisan 20 pemain hoki wanita kebangsaan ke Piala Negara-Negara FIH Wanita 2 dan pelancaran jersi skuad itu di Ibu Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, meskipun di atas kertas Malaysia mempunyai ranking yang baik, namun tetap mengingatkan anak buahnya sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.

Katanya, setiap pasukan dalam Kumpulan A berpotensi untuk layak ke peringkat separuh akhir terutamanya pasukan tuan rumah.

“Poland antara pasukan yang kita tidak boleh pandang rendah. Walaupun mereka berada di ranking ke-27, bagi saya ranking itu tidak menggambarkan prestasi pasukan berkenaan ketika ini.

“Malah sewaktu kelayakan Liga Hoki Eropah, Poland menamatkan saingan di tempat kedua. Jadi saya rasa taraf mereka agak tinggi,”katanya.

Malaysian Tigress di Piala Negara-Negara Wanita 2

Nama Posisi

1.Siti Zalia Nasri Penjaga Gol

2. Nur Hazlinda Zainal Abidin Penjaga Gol

2.Juliani Mohd Din Pertahanan

4. Fatin Shafika Mahd Sukri Pertahanan

5.Nur Nabila Alia Yussaini Pertahanan

6.Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin Pertahanan

7. Zawaitul Akma Hartomo Pertahanan

8. Dayang Nuramirah Abang Mahadini Pertahanan

9. Noor Hasliza Md Ali Tengah

10.Nur Insyirah Effarizal Tengah

11.Siti Nur Atika Shaikh Maznan Tengah

12.Nur Aisyah Che Musa Tengah

13. Nur Shamine Azureen Mohammad Badusha Tengah

14. Hanis Nadiah Onn Penyerang

15. Nur Afiqah Syahzani Azhar Penyerang

16. Nuramirah Shakirah Zulkifli Penyerang

17. Siti Nur Irdina Mohd Nor Penyerang

18. Siti Nur Afiqah Mohd Nor Penyerang

19. Siti Zulaikha Husain Penyerang

20. Zati Alyani Muhammad Zubir Penyerang



Source link

OR

Scroll to Top