Malik Choo Temui Identiti Seni Terbaharu Menerusi Move On

Malik Choo Temui Identiti Seni Terbaharu Menerusi Move On


Penyanyi Malik Choo memperkenalkan single rap pop berjiwa R&B terbaharu berjudul Move On.

Bernaung di bawah SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini menandakan perkembangan besar dalam identiti seni Malik yang kini tampil lebih matang dan versatil dalam arus muzik tempatan.

Dihasilkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Kidd Santhe, serta lirik nukilan Altimet a.k.a Mambang, Move On hadir sebagai karya moden yang sarat emosi, produksi kemas serta mesej positif yang mengajak pendengar untuk bangkit dan melangkah ke hadapan.

Malik memulakan langkah dalam dunia seni sejak 2009 sebagai DJ Kino. Dari pengalaman membaca tenaga penonton dan mengawal suasana persembahan, segalanya membentuk DNA artistiknya hari ini.

Sepanjang perjalanan, Malik terlibat dalam pelbagai kolaborasi penting termasuk Kita Jaga Kita bersama Altimet dengan lebih 10 juta tontonan, Lelaki Di Telefon bersama Afieq Shazwan dengan 12 juta tontonan dan Ralit bersama Tuju yang turut mendapat sambutan besar.

Move On juga merupakan single ketiganya bersama SVLTAN selepas Suka Kamu dan Apa Saja, menampilkan sisi Malik yang lebih reflektif dan berani.

Bagi Malik, lagu ini lahir daripada fasa kehidupan yang mengajarnya melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai. Katanya, walaupun ada sentuhan peribadi, mesej lagu ini mewakili pengalaman yang pernah dilalui ramai orang.

Move On menggabungkan elemen hip-hop, pop dan sedikit inspirasi K-pop. Altimet atau Mambang memainkan peranan besar dalam membentuk nada emosinya. Malik menjelaskan proses pembikinan lagu berjalan secara natural, dengan fokus terhadap susunan vokal serta penyampaian yang jujur dan mudah didengar.

Muzik video rasmi arahan Evan Lim menampilkan visual yang lebih rapi, berdisiplin dan berprestasi tinggi. Dengan koreografi oleh Meor Mukhris, persediaan hanya seminggu namun latihan intensif memberikan hasil yang memuaskan.

Move On turut diterbitkan di bawah Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 (DKK Industri Muzik) yang disokong MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi. SVLTAN turut merakamkan penghargaan atas sokongan kerajaan terhadap industri kreatif tempatan.

Malik berharap Move On dapat memberi semangat kepada pendengar yang sedang melalui perubahan hidup. Katanya, perjalanan muziknya akan terus berkembang dengan lebih banyak karya baharu dan persembahan pentas pada masa akan datang.

Move On kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di YouTube VEVO Malik Choo bermula 10 Disember 2025.



Source link

OR

Scroll to Top