June 14, 2024

Mana daddy? Tanya anak Allahyarham Rezaudeen cetus rasa hiba


KUALA LUMPUR- Pertanyaan mana daddy oleh anak Allhahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin mencetuskan suasana hiba di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di sini malam ini.

Kanak-kanak lelaki bernama Wan Alyan Riz, 4, itu melontarkan pertanyaan kepada ibunya, Alia Amalina Mohd. Nor berkali-kali di hadapan keranda ayahnya yang meninggal dunia dalam nahas pertembungan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam.

Alia Amalina yang kelihatan sebak sesekali menenangkan anaknya sambil beberapa kali kelihatan menyuruh Wan Alyan Riz mencium keranda yang mengandungi jenazah ayahnya.

Jenazah Wan Rezaudeen Kamal tiba di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah pada pukul 9.20 malam dan selamat dikebumikan pada pukul 10 malam penuh istiadat ketenteraan.

Sebelum itu jenazah Allahyarhan tiba di Masjil Salahuddin Al-Ayubi dari Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh pada pukul 8.20 malam untuk disembahyangkan.

Balu, Aliya Amalina Md Noor bersama anaknya, Wan Alyan Riz, 4, mengucup keranda suaminya, Allahyarham Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 APRIL 2024.

Suasana pilu sekali lagi menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah yang basah akibat hujan lebat ketika jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad apabila Alia Amalina dengan hiba berkata dia telah reda dengan pemergian Wan Rezaudeen Kamal.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled kemudian menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada isteri allahyarham pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik adalah antara 10 mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak semalam.

Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak dan selesai pada 2.20 petang tadi.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top