July 27, 2024

Sock Tao mampu teruskan kecemerlangan Kee Hiong – Guan Eng

Sock Tao mampu teruskan kecemerlangan Kee Hiong – Guan Eng


HULU SELANGOR – Keputusan Sekretariat Perpaduan yang menamakan Pang Sock Tao sebagai calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diyakini mampu meneruskan kesinambungan perkhidmatan mendiang Lee Kee Hiong.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, Sock Tao merupakan calon yang sesuai untuk memastikan rakyat menikmati pembangunan yang mampan dan memajukan ekonomi penduduk.

“Beliau adalah calon paling baik yang dapat meneruskan kesinambungan perkhidmatan cemerlang mendiang YB Lee Kee Hiong dan beliau akan pastikan apa yang telah dicapai oleh YB Lee iaitu terus menjadi suara rakyat, pantas dan tegas.

“Pada masa sama, beliau diyakini boleh berkhidmat dengan rajin sepanjang masa.

“Ini kerana saya rasa kawasan Parlimen Hulu Selangor dan DUN-DUN dalam Parlimen ini dahagakan pembangunan, sebab itu Kuala Kubu Bharu akan menjadi pemangkin pembangunan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  mengumumkan Sock Tao sebagai calon Perpaduan dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu di pekarangan Pejabat Khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu, di sini.

Sebelum ini, Sock Tao merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan pernah menjadi pegawai tugas-tugas khas kepada bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam, Yeo Bee Yin pada 2018 selama 22 bulan.

Sock Tao juga memilik Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain itu, Guan Eng tidak menolak kemungkinan jika kerusi Kuala Kubu Bharu itu dirampas parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN), pembangunan kawasan akan terhenti dan rakyat tidak dapat lagi menikmati mutu kehidupan lebih baik.

“Kalau Kuala Kubu Bharu jatuh ke tangan pembangkang, habislah tiada apa-apa saluran pembangunan.

“Saya harap wakil rakyat beri keutamaan kepada pembangunan, hanya Kerajaan Perpaduan dapat pastikan rakyat boleh hidup lebih senang pada masa depan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Pembangkang boleh cakap sahaja, tak berguna, tak boleh berbuat apa-apa, tidak boleh menambah baik mutu kehidupan rakyat Kuala Kubu Bharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top