Vinicius kerap menjadi sasaran penghinaan berbaur perkauman di La Liga. Foto Agensi
MANCHESTER City dilaporkan mula mengatur langkah agresif menjelang jendela perpindahan musim panas dengan meletakkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior sebagai sasaran utama.
Pemain sayap lincah Brazil berusia 25 tahun itu tampil konsisten dalam beberapa aksi terakhir bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan, namun masa depannya di Santiago Bernabeu dikatakan belum sepenuhnya terjamin.
Kontrak Vinicius berbaki kira-kira 18 bulan dan rundingan pembaharuan dijangka berlangsung pada musim panas ini.
Bagaimanapun, belum ada jaminan kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat, sekali gus membuka ruang kepada kelab lain untuk cuba merekrutnya.
Laporan media di England menyebut pegawai kanan City sudah menghubungi kem Vinicius dan menyatakan minat mereka, malah meminta pemain itu menangguhkan sebarang pembaharuan kontrak bersama Madrid.
Situasi berkenaan tercetus apabila pihak Madrid dikatakan belum bersedia memenuhi keseluruhan tuntutan yang dikemukakan wakil pemain berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pengendali City, Pep Guardiola difahamkan lebih cenderung menjadikan rakan sepasukan Vinicius, Rodrygo sebagai pilihan utama.
Namun Madrid menganggap Rodrygo bukan untuk dijual dan masih mempunyai kontrak jangka panjang.
Keadaan itu menjadikan Vinicius pilihan yang lebih realistik buat City sekiranya rundingan kontrak dengan Madrid terus berlarutan tanpa keputusan muktamad.
Andai perpindahan itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi antara saga terbesar musim panas, selain memberi kesan langsung kepada perancangan Madrid yang kini turut memiliki Kylian Mbappe dalam barisan serangan.
Segala-galanya kini bergantung kepada keputusan Vinicius yang bakal menentukan hala tuju projek jangka panjang kedua-dua kelab elit Eropah itu.
Ringkasan AI
- Manchester City menjadikan Vinicius Junior dari Real Madrid sebagai sasaran utama jendela perpindahan musim panas
- Pemain sayap Brazil itu masih memiliki kontrak berbaki kira-kira 18 bulan dengan Real Madrid
- Rundingan pembaharuan kontrak Vinicius dengan Madrid belum menjamin perjanjian baru
- City telah menghubungi kem Vinicius menyatakan minat dan memintanya menangguhkan pembaharuan kontrak
- Perpindahan Vinicius dapat menjadi salah satu saga terbesar musim panas dan mempengaruhi perancangan Madrid yang turut memiliki Kylian Mbappe






