MANCHESTER United dilaporkan bersedia melepaskan penyerang muda, Rasmus Hojlund dengan nilai sekitar £30 juta (RM169 juta), meskipun pemain itu baru sahaja meledak dua gol ketika menentang Bournemouth dalam aksi pramusim di Chicago.
Namun, selepas perlawanan, penyerang Denmark berusia 22 tahun itu menegaskan komitmennya untuk kekal bersama The Red Devils, walaupun kelab berkenaan kini memburu penyerang RB Leipzig dari Slovenia, Benjamin Sesko.
Sumber dalaman kelab mendedahkan United masih belum membuat keputusan muktamad, manakala Newcastle United turut berminat mendapatkan khidmat Sesko, namun masih belum mencapai persetujuan dengan kelab Bundesliga Jerman tersebut.
Difahamkan, Sesko lebih cenderung untuk menyertai Manchester United, yang dikatakan mampu menyelesaikan urusan pembelian.
Bagaimanapun, sebarang pembelian baharu berkemungkinan besar dimuktamadkan hanya selepas beberapa pemain dilepaskan bagi mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sekiranya Sesko tiba di Old Trafford, kedudukan Hojlund dalam kesebelasan utama dilihat semakin terancam.
Untuk rekod, jika Hojlund dijual pada harga £30 juta, United akan menanggung kerugian memandangkan nilai semasa pemain itu ialah sekitar £43 juta (RM243 juta).
Ini kerana beliau masih mempunyai baki tiga tahun daripada kontrak lima tahun yang ditandatangani bersama United.
United setakat ini membelanjakan hampir £130 juta (RM735 juta) pada jendela perpindahan musim baharu untuk membawa masuk Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha.