Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan diskaun 20 peratus bagi sewaan premis perniagaan di bawah seliaannya di seluruh negara, selain membuka ruang kepada peminjam pelbagai skim pembiayaan untuk menstruktur semula pinjaman masing-masing.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah itu bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat tekanan aliran tunai dan ketidaktentuan ekonomi semasa.
“MARA memberikan 20 peratus diskaun sewaan ke atas premis-premis perniagaan yang disewakan.
“Buat semua peminjam dan penerima manfaat pelbagai skim pembiayaan MARA yang menghadapi kesulitan menguruskan aliran tunai dan kewangan lantaran kegawatan ekonomi masa kini, mereka boleh hadir dan berunding dengan pegawai-pegawai MARA di seluruh negara sama ada di pejabat MARA daerah-daerah atau negeri-negeri atau boleh terus ke Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan termasuk MARA dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dikurangkan serta-merta berkuat kuasa bulan ini.
Arahan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap tekanan kos yang semakin meningkat ke atas peniaga kecil dan penjaja, khususnya yang terkesan akibat perubahan rantaian bekalan global dan peningkatan kos operasi.
Menurut Anwar, langkah tersebut penting sebagai intervensi segera kerajaan bagi memastikan golongan peniaga tidak terus terbeban sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri turut digesa untuk mengambil pendekatan sama dalam usaha meredakan tekanan kos di peringkat akar umbi.





