Letterkenny, Ireland: Jordan Adams, 30, dan adiknya, Cian, 25, kini menjadi perhatian dunia apabila memulakan misi larian maraton di 32 daerah di Ireland selepas aksi luar biasa mereka di London.
Dua beradik itu sebelum ini mencipta nama apabila Jordan berlari dalam Maraton London dengan membawa peti sejuk seberat 25 kilogram di belakangnya.
Kini, mereka meneruskan usaha amal merentasi Ireland bagi mengumpul dana penyelidikan penawar penyakit Demensia Frontotemporal (FTD) yang dihidapi keluarga mereka.
Misi 32 maraton dalam 32 hari itu bermula pada 27 April di County Antrim dan akan berakhir di Dublin pada 28 Mei depan. Bagaimanapun, larian kali ini dilakukan tanpa membawa peti sejuk.
Penyakit FTD meragut nyawa ibu mereka, Geraldine pada 2016 ketika wanita itu berusia 52 tahun, manakala 12 ahli keluarga lain turut menderita penyakit yang sama.
Ujian genetik mendapati Jordan dan Cian membawa mutasi gen MAT-T yang memberikan 99.9 peratus risiko untuk menghidap penyakit neurodegeneratif itu.
“Kami mahu datang ke Ireland, tempat di mana segala penderitaan ini bermula untuk menghormati ahli keluarga kami,” katanya.
Dalam misi ini, Jordan berlari sementara Cian memberikan sokongan logistik dengan berbasikal di sepanjang laluan berkenaan.
Jordan yang juga seorang ahli fisioterapi menjalani latihan selama enam bulan bagi memastikan tubuhnya mampu bertahan untuk menyempurnakan larian itu.
Pasangan itu menyasarkan kutipan dana sebanyak 1 juta pound sterling (kira-kira RM5.9 juta) bagi menghormati ibu mereka dan untuk penyelidikan penawar penyakit Alzheimer yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.
Menurut Persatuan Alzheimer Ireland, kira-kira 64,000 orang di negara itu hidup dengan demensia dengan satu daripada 10 kes membabitkan usia muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd






