London: Rangers memecat pengurus mereka, Russell Martin, menurut kenyataan kelab semalam, selepas permulaan musim mengecewakan yang menyaksikan mereka berada di tangga kelapan Liga Perdana Scotland.
Martin yang sebelum ini dipecat oleh Southampton pada Disember, mengambil alih jawatan di Rangers pada Jun dengan menandatangani kontrak tiga tahun. Namun, kesabaran kelab itu terhakis selepas rentetan keputusan buruk.
Keputusan seri 1-1 menentang Falkirk semalam menjadi kemuncak kepada situasi tersebut, dengan Rangers kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Hearts selepas tujuh perlawanan.
“Walaupun setiap tempoh peralihan memerlukan masa, keputusan yang dicapai tidak memenuhi jangkaan kelab,” kata kenyataan rasmi kelab.
Rangers gagal layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA selepas disingkirkan oleh Club Brugge di pusingan playoff, dan memulakan kempen Liga Europa mereka dengan dua kekalahan, masing-masing kepada Genk dan Sturm Graz.
Kelab turut mengesahkan penolong jurulatih, Matt Gill dan jurulatih pasukan utama, Mike Williamson juga akan meninggalkan kelab, namun belum ada pengumuman mengenai pengganti Martin buat masa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd





