SPEKULASI mengenai masa depan pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo, semakin hangat diperkatakan, terutamanya selepas rakan sepasukannya, Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee, memberikan reaksi terhadap hantaran terbaharu Mainoo di Instagram.
Mainoo, yang kini berusia 20 tahun dijangka meninggalkan United pada musim panas ini berikutan usaha pengendali, Ruben Amorim, untuk menyusun semula The Red Devils selepas mengharungi musim Liga Perdana Inggeris (EPL) terburuk mereka.
Red Devils menamatkan saingan di tangga ke-15 setelah hanya mencatatkan 11 kemenangan daripada 38 perlawanan liga utama.
Pemain England itu membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada tahun 2023 dan dengan pantas menjadi tonggak utama di bawah kendalian Erik ten Hag.
Persembahannya yang cemerlang turut melayakkannya disenaraikan dalam skuad England untuk saingan Euro 2024.
Bagaimanapun, sejak Amorim dilantik sebagai pengendali baharu United pada November lalu, Mainoo dilihat bergelut dengan masalah prestasi dan kecergasan.
Malah, Mainoo hanya diturunkan dalam empat daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam saingan liga utama.
Chelsea dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Mainoo yang dianggarkan bernilai sekitar 70 juta pound sterling (RM403 juta) dan pihak United mungkin terdorong untuk melepaskan pemain itu bagi mendapatkan dana tambahan untuk perancangan skuad selebihnya.
Namun, di tengah-tengah peningkatan spekulasi mengenai masa depannya, Mainoo telah dikesan berada di Wimbledon sepanjang cuti rehatnya.
Dalam hantaran Instagramnya, Mainoo memuat naik beberapa siri gambar daripada tempoh pasca musimnya dari United dengan tiga foto menunjukkan beliau di SW19 dan sedang menyaksikan perlawanan tenis di gelanggang satu.
Gambar-gambar lain turut memaparkan Mainoo giat menjalani latihan di gim dan berehat di padang bola sepak sambil menyarung jersi England retro.
Beliau jelas menikmati cuti musim panasnya sebelum kembali menyertai latihan pramusim di United.
Antara individu yang menekan butang ‘suka’ pada hantaran Mainoo termasuklah Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee.
Kedua-dua pemain ini, sama seperti Mainoo, turut menjadi tumpuan perbincangan mengenai perpindahan pada musim panas ini, namun atas sebab yang berbeza.
Fernandes sebelum ini menjadi sasaran Al-Hilal untuk Piala Dunia Kelab namun kapten United berusia 30 tahun itu menolak perpindahan lumayan ke Arab.
Saudi demi kekal di Old Trafford. Sementara itu, masa depan Zirkzee pula mula dipersoalkan setelah menghadapi permulaan yang sukar dalam kariernya di Manchester, sejak berpindah dari Bologna pada musim panas lalu.
Dalam perkembangan lain, laporan minggu lalu menyatakan bahawa Marcus Rashford, Alejandro Garnacho, Antony, Jadon Sancho, dan Tyrell Malacia telah memaklumkan kepada United tentang hasrat mereka untuk meninggalkan kelab tersebut.