Johan Ghazali FOTO: ONE CHAMPIONSHIP
JAGUH Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo, meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pengguna media sosial yang dilihat cepat menjatuhkan semangat atlet apabila mereka mengalami kekalahan.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Jojo menyuarakan perasaannya apabila terdapat pengguna media sosial memberikan komen negatif selepas beliau tewas kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez, dalam aksi ONE Fight Night 32 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu lalu.
“Kepada pembenci saya dari Malaysia, sebab andalah negara kita tak boleh capai ke tahap seterusnya. Jangan harap saya akan koyak dengan komen-komen anda, tapi saya malu, malu dengan mentaliti bangsa saya sendiri.
“Saya baru berusia 18 tahun, mempertaruhkan nyawa di atas gelanggang demi mengangkat nama negara. Pagi tadi saya bangun, kaki sakit tak boleh jalan, kepala sakit. Modal sendiri pun saya keluarkan untuk pastikan persediaan saya tip-top, tapi untuk apa?
“Datuk saya, Tan Sri Ghazali Che Mat mempertaruhkan nyawanya untuk negara ini. Ayah saya berkhidmat sebagai anggota polis selama 25 tahun demi negara ini. Adik-beradik saya semua mewakili Malaysia di peringkat tertinggi. Tapi untuk apa? Masa saya di atas, semua sokong. Bila saya jatuh, keluar perangai sebenar rakyat kita,” luahnya.
Jojo sebelum ini mencipta nama dalam arena Muay Thai antarabangsa dan merupakan antara prospek muda negara yang sedang meningkat naik dalam sukan tempur tersebut