Masa kecil selalu kena ejek

Masa kecil selalu kena ejek


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita ini tidak pernah menyangka dia bergelar peragawati kerana ketika di bangku sekolah sering dibuli oleh mereka yang mempersendakan bentuk badan dan warna kulitnya.

Berbekalkan keyakinan dan minat, Vernis Maliin Yeo, 27, berdarah campuran Cina, Peranakan, Belanda dan India membuktikan dia juga mampu berada di atas pentas peragaan dengan menjadi peragawati walaupun bertubuh gempal.

Bermula secara sambilan, ibu tunggal seorang anak berumur dua tahun itu nekad menjadikan bidang peragaan sebagai sumber mata pencariannya sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, peluang yang datang tidak dipersiakan dan dia bersyukur kerana masih ramai mempercayai bakatnya sehingga kini.

“Sebelum kerja sepenuh masa sebagai peragawati, sumber pendapatan saya sebagai guru tuisyen bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin pada 2016.

“Kemudian, saya sertai pertandingan ratu cantik dengan galakan ibu saudara (Faith @ Amy Tessensohn , 42) dan menang. Bermula 2018, saya ceburi bidang peragaan sepenuh masa dan aktif sampai sekarang dan minat itu tercetus kerana ibu (Adrianette Tessensohn, 44) suka gayakan dan ambil gambar saya waktu kecil.

“Itulah permulaan dan awal pembabitan dulu, ramai yang bagi kata-kata seolah-olah nak menjatuhkan semangat saya dengan sentuh soal fizikal selain ragu dengan kemampuan saya bergambar dan menyedihkan kerana ia datang daripada orang dalam industri sendiri,” katanya.

Vernis berkata, cabaran lain dilaluinya adalah berdepan layanan pilih bulu atau double standard oleh sebahagian pelanggan walaupun sudah ramai yang terbuka menerima peragawati plus size.

Kata Vernis, keadaan itu menyebabkan timbul isu berkaitan bayaran lebih rendah kepada peragawati dalam kategori sama sepertinya berbanding bersaiz normal walaupun tiada pengalaman.

Katanya, individu terbabit membuatkan dia berasa tidak dihargai kerana baginya, bayaran perlu berdasarkan pengalaman seseorang dalam industri.

“Tak semua (klien) begitu tapi memang ada…tapi ramai percaya dengan kemampuan saya dan tawaran paling banyak adalah jadi model bagi produk bengkung.

“Mungkin kerana badan seperti saya ini nampak lebih lentik bila memakai bengkung dan ada juga tawaran jadi model beg, kasut, produk penjagaan kulit. Tawaran paling besar adalah daripada satu jenama pakaian sukan terkenal dua tahun lalu,” katanya yang pernah merangkul gelaran Miss Grand Melaka 2018 Best Advocate dan juara pencarian model plus size antarabangsa 2024 atau International Plus Size Model (IAMS) 2024.

Di sebalik cabaran itu, Vernis mengakui banyak juga pengalaman manisnya sepanjang hampir sedekad bergelar peragawati.

Vernis berkata, antaranya ketika terbabit dalam pertunjukan Malaysia Fashion Week yang memberinya peluang catwalk di hadapan idolanya juga pereka kasut terkenal, Prof Datuk Jimmy Choo.

“Saya pernah berjumpa pereka fesyen terkenal, Melinda Looi, penata gaya, Min Luna dan mengadakan sesi fotografi bersama pelakon popular, Tony Eusoff.

“Sangat berbesar hati kerana bagi saya, mereka semua orang hebat dalam industri dan pertemuan itu beri semangat untuk saya berjaya serta tampil lebih yakin kerana di negara ini tak ramai pun model plus size.

“Terima kasih kepada samua klien yang beri saya ketengahkan diri dan tampil di atas pentas peragaan, salah satunya pertunjukan fesyen busana raya di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini. Itu bukan pertama kali saya di pentas peragaan tapi peluang yang saya nantikan juga,” katanya

Vernis berkata, selain menjadi peragawati, dia juga pencipta kandungan di media sosial selain gemar menulis puisi dan melukis bila ada kelapangan waktu.

“Buat wanita di luar sana yang seperti saya, percaya dan hargailah diri sendiri kerana kita semua ada keistimewaan masing-masing serta jangan jadikan saiz badan sebagai penghalang menikmati hidup ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top