Masalah kewangan punca Projek Pakej 2 lambat siap – Kon Yeow

Masalah kewangan punca Projek Pakej 2 lambat siap – Kon Yeow


GEORGE TOWN: Masalah kewangan dipercayai menjadi punca kelewatan pelaksanaan projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang kini masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada April 2027.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek berkenaan sebenarnya hanya ditawarkan kontrak pada tahun 2020 dan bukannya bermula sejak 2013 seperti didakwa sesetengah pihak.

Menurut beliau, dakwaan kononnya projek tersebut mengambil masa sehingga 14 tahun untuk disiapkan adalah tidak tepat kerana tempoh pelaksanaan dikira bermula selepas kontrak ditawarkan.

“Kontrak ditawarkan pada 2020, macam mana boleh kata 14 tahun? Projek ini masih berjalan dan tempoh diberikan sehingga April 2027,” katanya selepas merasmikan muzik video ‘Oh Malaysiaku’ di sini hari ini.

Pengkritik sebelum ini mendakwa projek itu merupakan projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang lewat disiapkan.

Mengikut garis masa projek yang diumumkan sebelum ini, projek tersebut mula dianugerahkan pada 2013, manakala kerajaan Pulau Pinang membelanjakan RM46.2 juta untuk kajian pada 2015. Projek itu dilancarkan secara rasmi pada 2019, manakala pembinaan fizikal hanya bermula sekitar 2021.

Difahamkan, jalan pintasan sepanjang kira-kira enam kilometer (km) itu dibina dengan kos RM851 juta dan pada asalnya dijadual siap pada 2025 sebelum tempoh tersebut dilanjutkan sehingga 2027.

Kon Yeow berkata, terdapat kelewatan dalam pelaksanaan projek berkenaan, namun kerja-kerja pembinaan masih diteruskan.

“Memang ada kelewatan, tetapi belum sampai tarikh akhir lagi. Kerja masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan projek itu dipercayai berpunca daripada isu kewangan melibatkan pemaju serta syarikat konsesi yang terlibat.

“Saya rasa ia disebabkan isu kewangan melibatkan syarikat konsesi,” katanya yang turut menolak dakwaan bahawa pandemik Covid-19 masih menjadi faktor kepada kelembapan projek berkenaan. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top