July 27, 2024

Masih banyak IPT tawar program kardiotoraks tanpa jejas hak bumiputera

Masih banyak IPT tawar program kardiotoraks tanpa jejas hak bumiputera


KUALA LUMPUR – Masih banyak lagi institusi pengajian tinggi (IPT) yang mampu menawarkan program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks tanpa perlu mengganggu hak eksklusif bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) boleh menawarkan peluang sama kepada bukan bumiputera tanpa menjejaskan hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia mempunyai banyak lagi universiti yang mampu menawarkan program-program ini tanpa perlu mengganggu hak eksklusif bumiputera di UiTM.

“Malaysia mempunyai banyak lagi universiti awam dan swasta yang terbuka kepada semua kaum. Institusi-institusi ini juga telah berjaya melahirkan ramai graduan cemerlang dalam kalangan pelbagai kaum,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Khamis lalu, MalaysiaGazette melaporkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera dan menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam.

Gesaan itu susulan rayuan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) minggu lalu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut.

Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyeru semua pihak menghormati kepentingan mempertahankan UiTM seperti mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 1A, Akta UiTM (Akta 173).

“Ini bukan soal diskriminasi tetapi keadilan dan pengiktirafan terhadap hak istimewa bumiputera yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Kita perlu memahami mempertahankan hak bumiputera di UiTM tidak bermakna kita menafikan hak pendidikan kepada kaum lain,” katanya.

Menurut Fariz, UiTM bukan sekadar sebuah universiti ia melambangkan harapan dan aspirasi untuk meningkatkan taraf hidup dan memperkasa bumiputera melalui pendidikan.

“Saya menyokong kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan UiTM harus kekal sebagai institusi pendidikan eksklusif untuk bumiputera.

“Ini bukan sahaja menghormati sejarah dan Perlembagaan negara, bahkan memastikan hak dan keistimewaan Bumiputera dipertahankan dan dihormati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top