July 27, 2024

Saya tidak akan jawab notis 14 hari – Syed Abu Hussin

Saya tidak akan jawab notis 14 hari – Syed Abu Hussin


BUKIT GANTANG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan beliau telah menerima notis bertulis yang dikeluarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan membalas surat arahan yang dikeluarkan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam Bersatu bagi tempoh 14 hari bermula Jumaat.

“Saya sudah terima surat dan baca dan mereka tidak tahu mengambil tindakan sebab mereka tanya soalan balik kepada saya.

“Sepatutnya perkara ini sudah jelas memandangkan bukan perkara baharu bahawa enam Ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi surat yang dihantar itu adalah surat yang tidak ada makna kepada saya dan saya tidak jawab surat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Parlimen Bukit Gantang di Kampung Jelutong, Changkat Ibol, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, dia sebaliknya mahu melihat tindakan yang bakal diambil pimpinan Bersatu selepas tempoh 14 hari yang diberikan tamat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

“Saya bersedia, jika saya dicabar maka saya akan mencabar mereka semula sampai ke peringkat pilihan raya kecil (PRK) dan kalau PRK saya akan bertanding.

“Saya akan tunjukkan bahawa apa mereka (pimpinan Bersatu) buat itu tidak betul dan merosakan pemikiran rakyat serta menganggu tugas Ahli Parlimen,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bersatu, Syed Abu Hussin berkata beliau telah merujuk kepada beberapa peguam serta bekas hakim bagi mendapat khidmat nasihat.

“Saya sudah rujuk kepada beberapa peguam dan bekas hakim memang ada kesalahan kerana mereka membuat gangguan psikologi dan menghasut rakyat supaya jangan ikut.

“Ini tindakan penghasutan dan kami juga bersedia untuk ambil tindakan jika perlu supaya beri kesedaran kepada mereka,” katanya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Jumaat memaklumkan telah menghantar surat arahan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh ia dikeluarkan.

Beliau berkata, antara kandungan surat arahan itu adalah mengenai tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top