Masih seperti pengantin baru walaupun sudah 54 tahun berkahwin

Masih seperti pengantin baru walaupun sudah 54 tahun berkahwin


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Alor Setar: Pasangan warga emas ini sudah 54 tahun melayari bahtera rumah tangga, namun kemesraan dipamerkan ibarat mereka suami isteri yang baru mendirikan masjid.

Gelagat romantis Hasanah Ayub, 71, dan suami, Ahmad Murad, 79, dapat dilihat menerusi perkongsian video anak mereka, Nur Hidayah Ahmad, 41, yang dimuat naik di TikTok.

Dalam video itu, Ahmad dilihat menyuap makanan ke mulut Hasanah sebelum mencium pipi dan memeluk isterinya.

Berkongsi kisah itu, Nur Hidayah berkata, video itu dirakam sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapanya itu.

Katanya, dia berkongsi video berkenaan di TikTok sebagai kenangan dan tidak sangka akan mendapat perhatian apabila ramai warganet menitipkan doa buat ibu bapanya.

“Kami semua sudah berkahwin, jadi ayah dan emak tinggal berdua di kampung. Nampak mereka masih bahagia dan mesra walaupun sudah lebih separuh abad berkahwin.

“Setiap kali tengok mereka, tak kering gusi kami dibuatnya kerana emak melatah dan ayah pula suka menyakat. Kalau tak nampak kelibat emak, ayah pasti akan cari,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai anak, Nur Hidayah menjadikan perkahwinan ibu bapanya sebagai panduan dalam melayari bahtera rumah tangganya.

Nur Hidayah juga berharap ibu bapanya dipanjangkan umur walaupun masing-masing sudah berusia serta ada masalah kesihatan.

“Ayah ada darah tinggi, emak pula sakit lutut tapi tahap kesihatan mereka stabil. Saya doakan mereka terus sihat dan berbahagia sampai ke syurga,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Ayuni Ahmad, 33, berkata, ibu dan bapanya pernah menempuh fasa sukar ketika membesarkan mereka enam beradik.

Bagaimanapun, Ayuni berkata, dia kagum dengan ibunya kerana tetap setia sebagai teman hidup bapanya.

“Ada juga tengok emak dan ayah bergaduh manja, tapi bila dalam keadaan begitu, ayah yang banyak beralah dan pujuk emak.

“Tapi selalunya mereka suka usik mengusik dan sebagai anak, kami terhibur melihat mereka serta harap emak dengan ayah berbahagia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top