Masuk Tahun Ketiga Anak Sulung Puasa Penuh, Scha Alyahya Kongsi Lara Alana Teruja Sambut Ramadan

Masuk Tahun Ketiga Anak Sulung Puasa Penuh, Scha Alyahya Kongsi Lara Alana Teruja Sambut Ramadan


Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya berkongsi keterujaan melihat anak sulungnya, Lara Alana, semakin seronok menjalani ibadah puasa setiap kali Ramadan tiba.

Menurut Scha, Lara mula berpuasa penuh sejak berusia lapan tahun dan tahun ini dijangka menjadi tahun ketiga anaknya itu berjaya menunaikan puasa sebulan penuh.

“Sejak usia lapan tahun, Lara dah berpuasa penuh. Insya-Allah, tahun ini masuk tahun ketiga dia berpuasa penuh. Dia memang sangat teruja setiap kali datang bulan puasa,” katanya.

Tambah pelakon drama bersiri Awan Dania ini, dia sendiri pernah bertanya kepada Lara tentang sebab anaknya itu begitu teruja untuk berpuasa.

Jawapan yang diberikan cukup ringkas, namun menggambarkan kesungguhan Lara dalam menikmati pengalaman tersebut.

“Saya pernah tanya kenapa dia rasa seronok sangat. Lara cakap dia memang suka berpuasa,” ujarnya.

Tambah Scha, ketika Lara mula belajar berpuasa dahulu, dia pernah menjanjikan ganjaran sebagai motivasi buat anak mereka.

“Mula-mula dulu saya ada cakap, kalau dia puasa saya nak bagi RM20 sehari. Tapi bila dia berjaya berpuasa penuh sebulan, dia sendiri dah lupa tentang ganjaran itu.

“Jadi saya bawa dia bercuti, kebetulan waktunya juga dekat dengan ulang tahun kelahiran Lara,” katanya.

Dalam masa sama, Scha berkata Lara juga gemar meminta pelbagai juadah kegemarannya sepanjang Ramadan, dan suaminya, pengacara Awal Ashaari biasanya menjadi individu yang akan memenuhi permintaan tersebut.

“Lara memang suka minta makanan yang dia gemar dan Awal pula yang selalu tunaikan. Kadang-kadang dia minta pencuci mulut seperti sago gula melaka, agar-agar, pulut mangga dan macam-macam lagi. Hampir setiap hari ada saja yang dia mahu dan Awal akan sediakan,” katanya.

Bagaimanapun, Scha berkata situasi itu berbeza dengan anak keduanya, Lyla Amina, yang masih belum mula berpuasa memandangkan usianya baru lima tahun.

“Lila masih belum berpuasa sebab dia kata dia masih ‘baby’. Sekarang dia baru lima tahun. Saya pun sudah terfikir-fikir macam mana nanti apabila umur dia masuk lapan tahun,” selorohnya.

Scha ditemui di majlis meet and greet bersama Hael Husaini dan dirinya bersempena pembukaan butik baharu Amber di IOI City Mall, Putrajaya, pada Sabtu.

Sementara itu, Scha menyifatkan peluang menjadi wajah Amber LUXE sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan dan perniagaan.

“Bagi saya, ‘Luxe’ itu bukan sahaja pada pakaian tetapi bagaimana kita membawa diri. Saya seorang yang santai, tetapi sangat teliti dalam memilih kerja dan jenama.

“Sebab itu bila diberi peluang ini, saya rasa ia satu penghargaan terhadap apa yang saya bina selama ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top