Mazda sekali lagi membuktikan sentuhan rekaannya masih berbisa apabila model elektrik terbaharu mereka iaitu Mazda 6e,dinobatkan sebagai World Car Design of the Year 2026 di pentas pemaran automotif New York International Auto Show.
Pengiktirafan ini bukan sekadar kemenangan biasa. Ia menandakan kali ketiga Mazda meraih anugerah reka bentuk berprestij ini, selepas kejayaan Mazda MX-5 pada 2016 dan Mazda3 pada 2020 yang menjadi satu bukti bahawa falsafah reka bentuk mereka bukan sekadar cantik, tetapi konsisten relevan merentasi zaman.
Mazda 6e yang juga dikenali sebagai Mazda EZ-6 di pasaran China merupakan sedan elektrik sepenuhnya yang dibangunkan sebagai langkah besar jenama Jepun itu ke dalam era elektrifikasi. Ia bukan sekadar menggantikan Mazda6 lama, tetapi membawa identiti baharu dengan pendekatan lebih moden tanpa meninggalkan DNA asal Mazda.

Dari segi reka bentuk, Mazda kekal berpegang kepada bahasa rekaan Kodo: Soul of Motion, tetapi kali ini ia diperkemaskan lagi untuk dunia EV. Garisan badan yang bersih, permukaan yang nampak seperti diukir, dan siluet ala coupe memberikan 6e penampilan yang lebih premium dan emosional berbanding sedan elektrik tipikal yang selalunya terlalu minimalis atau futuristik sampai hilang jiwa rekaan.
Apa yang menarik ialah walaupun industri kini cenderung ke arah SUV dan crossover, Mazda berani tampil dengan sebuah rekaan sedan klasik dan tetap menang dari segi reka bentuk. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa masih ada ruang untuk kereta sedan yang direka dengan betul untuk menonjol dalam pasaran moden.
Anugerah ini diputuskan oleh panel 98 wartawan automotif dari seluruh dunia, yang menilai hampir 90 model kenderaan sebelum memilih pemenang. Proses ini menjadikan kemenangan Mazda 6e bukan sekadar populariti, tetapi hasil penilaian profesional dari pelbagai pasaran global.
Secara keseluruhan, kemenangan Mazda 6e ini bukan hanya tentang rupa yang cantik. Ia adalah simbol bagaimana Mazda berjaya mengekalkan “jiwa pemanduan” mereka melalui konsep Jinba-Ittai walaupun dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi elektrik.





