July 27, 2024

MCA tak berkempen tak ganggu jentera calon PH – Fahmi

MCA tak berkempen tak ganggu jentera calon PH – Fahmi


PUTRAJAYA –  Jentera Kerajaan Perpaduan tidak terganggu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu biar pun MCA enggan turun berkempen bagi membantu calon DAP.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) akan membantu usaha itu memberi kemenangan buat calon, Pang Sock Tao sekaligus membuktikan hubungan bersatu padu dengan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak menganggu (MCA tidak turun) hubungan antara PH dan BN adalah terasnya. BN akan membantu dan kita fokus di lapangan.

“Kita ada calon yang bagus. Malam tadi di Kuala Kubu Bharu, Datuk Seri Ahmad Maslan juga bagi approval (lulus terhadap calon). Ini fokus jentera dan kita bersatu-padu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Madani Muhibah Aidilfitri, di perkarangan Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pembangunan Perumahan  Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis yang sama selain Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Sebelum ini, MCA menyatakan tidak akan turun berkempen bagi PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya tiada wakil BN dicalonkan di DUN itu.

Malam tadi, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sock Tao diumumkan sebagai calon DAP mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, Kerajaan Perpaduan menampilkan calon berwibawa iaitu seorang wanita muda yang berdedikasi, berkeluarga dan mempunyai banyak pengalaman berikutan pernah berkhidmat dengan dua menteri sebelum ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top