rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan sandaran dan harapan kepada media untuk bertindak sebagai penyampai berita, maklumat dan sumber menzahirkan kebenaran serta keadilan kepada umum.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukannya menghargai sokongan dan kerjasama media menerusi keberkesanan peranan masing-masing.
“Platform media mempunyai ‘kuasa unik’ yang berkemampuan melangkaui batas fizikal, mempengaruhi pemikiran dan memenangi hati masyarakat untuk menzahirkan sokongan memperkukuh keselamatan serta keamanan negara.
“Keistimewaan ini wajar ditransformasikan sebagai wadah pemantapan jati diri masyarakat bagi mengekang pengaruh anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Hadir sama, pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali, pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Pada majlis berkenaan, tiga wartawan Harian Metro antara 30 pengamal media yang menerima sijil penghargaan dan plak disampaikan Razarudin.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, penugasan warga polis dan pengamal media sememangnya berpaksikan kepada kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara, keharmonian kaum serta perpaduan nasional secara inklusif.
“Justeru, fokus informasi yang digarapkan harus selaras dengan keperluan, kepentingan dan hak asasi masyarakat supaya kita kekal diyakini, relevan dan signifikan.
“Kepercayaan dan harapan tinggi disandarkan kepada pihak media selaku rakan strategik PDRM, untuk meningkatkan penyaluran, penyampaian selain menyebar luas informasi yang tepat dan dipercayai berbanding spekulasi dalaman mahupun atas kepentingan individu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengamal media juga berperanan sebagai ‘pemerhati’ yang mampu mengawasi tingkah laku penyampaian perkhidmatan warga polis, termasuk mencadangkan penambahbaikan tadbir urus pasukan agar sentiasa berintegriti dalam semua aspek.
Katanya, PDRM optimis untuk terus berusaha mengeratkan silaturahim dan memperkukuh sinergi kerjasama dengan media atas kebertanggungjawaban bertunjangkan Rukun Negara, mengenepikan salah faham bagi membina serta memperkukuh keharmonian masyarakat dan keselamatan negara secara komprehensif.
© New Straits Times Press (M) Bhd