Kementerian Perpaduan Negara berjaya menyelesaikan 147 kes yang mencetuskan ketegangan dalam komuniti melalui pendekatan mediasi sepanjang tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan kaedah tersebut dalam mengurus isu perpaduan secara harmoni.
Dalam kenyataan, kementerian itu memaklumkan pendekatan mediasi yang digerakkan menekankan penyelesaian secara damai tanpa bergantung sepenuhnya kepada tindakan berbentuk hukuman.
“Ini kerana tidak semua konflik memerlukan penyelesaian melalui tindakan perundangan. Sebaliknya, pendekatan berasaskan dialog, persefahaman dan tolak ansur mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih mampan serta diterima oleh semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, mediasi merupakan kaedah alternatif dalam mengurus pertikaian antara dua pihak dengan bantuan pihak ketiga yang neutral, iaitu mediator.
“Peranan mediator adalah untuk memudah cara perbincangan, membantu kedua-dua pihak mencapai persefahaman dan seterusnya mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama,” menurut KPN.

Kenyataan itu turut memaklumkan perkhidmatan mediasi yang disediakan secara percuma dan tanpa melibatkan proses litigasi perundangan menjadikannya lebih mudah diakses, cepat serta mesra rakyat.
Artikel lain: KPN pandang serius, tegas pertahankan keharmonian negara – Aaron Ago
Antara isu yang sering dikendalikan termasuk masalah parkir, gangguan bunyi bising, perselisihan antara jiran, konflik kekeluargaan serta isu alam sekitar yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.
Skop perkhidmatan tersebut merangkumi pelbagai isu ketegangan di kawasan perumahan bandar, kampung mahupun strata.
Sehubungan itu, KPN akan terus memperkasa peranan mediator komuniti serta memperluas kesedaran rakyat mengenai kepentingan mediasi sebagai mekanisme utama dalam memelihara perpaduan dan keharmonian negara.





