Peminat dilihat menikmati burger di meja makan tepi padang ketika pemain tengah England, Declan Rice bersedia mengambil sepakan sudut. – Foto: Agensi
DUNIA bola sepak terus kecoh selepas rakaman aksi pemanas badan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) tular memaparkan penonton menikmati makanan di meja tepi padang ketika perlawanan berlangsung.
Situasi di Stadium Inter & Co, Orlando ketika aksi England menentang Costa Rica itu mencetuskan pelbagai reaksi, apabila kamera merakam penonton lebih leka menikmati hidangan berbanding memberi tumpuan kepada permainan.
Rakaman berkenaan pantas mengundang kecaman peminat antarabangsa, khususnya dari Eropah yang menyifatkan suasana itu jauh menyimpang daripada budaya bola sepak sebenar.
“Perkara paling pelik yang pernah saya lihat di stadium bola sepak. Orang makan di meja betul-betul dekat tiang sudut,” kata seorang pengguna di media sosial.
“Amerika sedang merosakkan identiti bola sepak,” tulis seorang lagi netizen, merujuk kepada konsep tempat duduk VIP tepi padang yang menyediakan pengalaman makan ketika perlawanan.
“Penonton lebih sibuk makan burger dan minum bir berbanding menonton perlawanan. Tidak hairan suasana hambar,” kata komen lain yang turut tular.
Bagaimanapun, konsep tempat duduk berkenaan bukan baharu di AS apabila pakej VIP tepi padang ditawarkan lengkap dengan hidangan serta servis makanan sepanjang perlawanan, namun pada harga mencecah ribuan hingga puluhan ribu dolar.
Dalam pada itu, England tetap menutup aksi pemanas badan tersebut dengan kemenangan selesa 3-0 menerusi jaringan Declan Rice, Anthony Gordon (penalti) dan Ollie Watkins.
Kemenangan tersebut memberikan suntikan keyakinan buat England menjelang perlawanan pertama menentang Croatia di Stadium Dallas, Arlington pada Khamis depan.
Selain Croatia, England akan turut berdepan Ghana dan Panama dalam aksi Kumpulan L.






