georgie@hmetro.com.my
ANNYEONGHASEYO! Bekas anggota LOONA, Chuu akhirnya beroleh kemenangan atas kes saman terhadap bekas agensinya Blockberry Creative berhubung kes kesahihan kontrak eksklusifnya yang mencetus perbalahan.
Pada 27 Jun, mahkamah memutuskan berpihak kepada Chuu serta menolak rayuan agensi terbabit yang mahu menyimpan kontrak eksklusif penyanyi berkenaan.
Keputusan penolakan itu bermakna perbicaraan tidak akan dipanjangkan kecuali boleh dipersoalkan dan mempunyai alasan sah yang spesifik. Misalnya keputusan ada ketirisan dalam perintah dijatuhkan.
Chuu memfailkan saman kepada Blockberry Creative pada 2021. Ia susulan wujud konflik dalam pembayaran hasil pendapatannya.
Kemudian, pada November 2022, dia dibuang daripada kumpulan Loona selepas dituduh terbabit kes buli. Bagaimanapun, Chuu menyangkal tuduhan berkenaan.
Pada awal perbicaraan, pihak guamannya mempersoal kontrak eksklusif agensi itu yang mengenakan penalti melampau.
Penalti perlu dibayar tiga kali ganda jika kontrak ditamatkan selain 15 peratus bayaran tambahan daripada jumlah pendapatan Chuu sebagai ganti rugi.
Namun, mahkamah berpihak kepada Chuu dan menolak hujah agensi itu yang mendakwa kontraknya terbatal kerana menandatangani kontrak bersama agensi lain, ARTP.
Mahkamah menegaskan pertukaran agensi tidak bermakna secara automatik menyebabkan pembatalan itu.
Turut ditekankan adalah pengagihan jumlah pendapatan yang tidak sama rata. Khususnya pendapatan Chuu dari 2016 hingga September 2021 yang mana dia dihalang menerima bayaran jika keuntungan tidak melebihi 40 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd