NEGARA digemparkan dengan beberapa kejadian memilukan melibatkan kalangan remaja terutamanya kes-kes buli, pengaduhan dan bunuh dalam kalangan pelajar yang menjadi satu fenomena perlu diberi perhatian segera.
Sebagai contoh, video penderaan yang disebarkan untuk tontonan, seolah-olah sudah hilang rasa bersalah dalam diri mereka dan semakin kebal empati serta tidak dapat rasa kesalahan yang dilakukan terhadap orang lain.
Sebagai pengajar dan pelajar di universiti serta penyelidik, kami melihat satu perubahan mengejutkan iaitu generasi muda semakin kehilangan kepekaan terhadap kesalahan dan penderitaan orang lain.
Fenomena ini bukan datang secara tiba-tiba, tetapi hasil pendidikan yang meresapkan kekerasan terhadap kepercayaan Mukmin.
Punca hilang empati
1 – Pendidikan akidah tidak meresap ke dalam jiwa
Akidah sepatutnya sebagai teras yang mengatur segala tingkah laku seseorang dalam hubungannya dengan ALLAH.
Al-Quran mengajar bahawa hati boleh menjadi keras jika jauh dari Ilahi sebagaimana firman-NYA dalam ayat ke-16 surah al-Hadid: “Kemudian hati mereka menjadi keras (sedangkan dahulu mereka mudah tersentuh).”
Cabaran hari ini ialah pendidikan akidah diajar sebagai teori hafalan, bukan pengalaman rohani yang mengubah jiwa.
Remaja boleh hafal rukun iman, tetapi tidak merasai kehadiran ALLAH dalam kehidupan. Mereka tahu ALLAH MAHA MELIHAT, tetapi tidak takut melakukan dosa di hadapan-NYA.
Akidah menjadi pengetahuan di kepala, bukan cahaya di dalam hati. Apabila akidah tidak diresapi, remaja kehilangan kompas moral.
REMAJA perlu didedahkan kepada realiti kehidupan di luar dunia digital dalam memupuk rasa empati dalam diri mereka. Foto Canva
Mereka tidak lagi bertanya: “Adakah ALLAH reda dengan perbuatan ini?” Sebaliknya mereka bertanya: “Bolehkah saya terlepas daripada hukuman?”
Konsep muraqabah (sentiasa merasa diawasi ALLAH) hilang dalam kehidupan digital yang penuh dengan anonimiti (keadaan seseorang yang tidak diketahui identitinya atau dirahsiakan namanya) dan kebebasan tanpa had.
2 – Sosial media dan kandungan normalisasi ejekan
Budaya sosial media hari ini penuh dengan sindiran, penghinaan dan diviralkan kegagalan orang lain menjadikan empati sesuatu yang asing.
Platform media sosial mempopularkan kandungan yang mengejek kecacatan fizikal, kemiskinan atau kegagalan orang lain demi mendapat tanda ‘likes’ dan perkongsian.
Remaja terdedah kepada beribu-ribu video sedemikian setiap hari. Pendedahan berulang-ulang kepada kandungan ini menyebabkan remaja mula menerima keganasan emosi sebagai perkara normal.
Mereka kehilangan kepekaan terhadap penderitaan orang lain. Remaja bukan sahaja menjadi saksi kepada kesalahan orang lain, malah turut menyumbang kepada budaya mengejek ini dengan berkongsi menyukai dan mengulas kandungan sedemikian.
Apa yang lebih membimbangkan, algoritma media sosial direka untuk mengekalkan pengguna. Kandungan yang menimbulkan reaksi emosi kuat, sama ada marah, geli atau terhibur, akan lebih banyak dipaparkan.
Remaja yang mula menonton satu video buli mungkin akan disuap dengan lebih banyak konten serupa.
Lama-kelamaan, mereka menjadi desensitized (tidak lagi sensitif) terhadap penderitaan orang lain.
Langkah penyelesaian
Untuk mengembalikan empati generasi muda, beberapa langkah perlu diambil:
1 – Pendidikan akidah yang menyentuh jiwa perlu diperkasakan.
Akidah perlu diajar dengan cara yang menggerakkan hati, bukan sekadar hafalan. Remaja perlu dibimbing merasai kehadiran ALLAH dalam setiap tindakan sehingga terbentuk muraqabah yang kukuh.
2 – Bimbingan penggunaan media sosial perlu diberi perhatian serius.
Ibu bapa dan guru perlu memantau kandungan yang ditonton remaja dan membincangkan kesan negatif kandungan yang menormalisasikan keganasan emosi. Ajar mereka membezakan antara hiburan dan penderaan.

PENDIDIKAN akidah bukan sekadar hafal untuk peperiksaan, sebaliknya perlu ditekankan penghayatannya. Foto Canva
3 – Menghidupkan semula budaya empati dalam kalangan remaja.
Galakkan aktiviti yang memupuk empati seperti khidmat masyarakat, ziarah orang sakit dan mendengar kisah penderitaan orang lain. Remaja perlu didedahkan kepada realiti kehidupan di luar dunia digital.
4 – Institusi pendidikan perlu memainkan peranan.
Sekolah dan universiti perlu memperkasakan program pembangunan karakter yang menekankan nilai-nilai murni Islam. Pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi pembinaan insan yang berakhlak mulia.
Generasi muda hari ini mungkin menang dalam ‘game’, tetapi kalah dalam akidah hidup sebenar.
Sudah tiba masanya kita kembali kepada teras pendidikan Islam yang sebenar, pendidikan yang membentuk hati, bukan sekadar mengisi kepala.
Hanya dengan demikian kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar, tetapi juga penyayang dan berempati.
Kepada para guru, ibu bapa dan pembuat dasar, tanggungjawab ini bukan milik satu pihak sahaja. Kita semua perlu bergerak serentak dalam memperbaiki pendidikan rohani anak-anak kita sebelum terlambat.
Kejayaan duniawi tanpa akidah yang kukuh hanya akan melahirkan generasi yang pandai tetapi tanpa belas kasihan.
Marilah kita berusaha memastikan anak-anak kita tidak hanya berjaya dalam kehidupan dunia, tetapi juga menang dalam kehidupan akhirat dengan hati yang penuh rahmat dan empati kepada sesama makhluk ALLAH.
***Penulis, AKMAL HASIF MOHAMAD SUKRI merupakan mahasiswa Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan DR MUHAMAD HAFIZ HASSAN merupakan Pensyarah Reka Bentuk Grafik, Jabatan Jaringan, Industri, Komuniti dan Alumni, UiTM Sarawak.
Ringkasan AI
- Negara digemparkan dengan fenomena kes buli, pengaduhan dan bunuh dalam kalangan pelajar
- Generasi muda kehilangan kepekaan terhadap kesalahan dan penderitaan orang lain akibat pendidikan akidah yang tidak meresap dalam jiwa
- Media sosial dan penormalan ejekan menyebabkan remaja kehilangan empati
- Pendidikan akidah yang menyentuh jiwa dan pengawasan media sosial diperlukan untuk mengembalikan empati
- Pentingnya menghidupkan kembali budaya empati dan peranan institusi pendidikan dalam pembinaan karakter serta akidah





