Penyanyi Aisha Retno merancang untuk memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu selama beberapa bulan bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan pentas akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40).
Mara ke pentas berprestij itu menerusi lagu Tak Adil, Aisha mengakui keletihan melampau akibat jadual kerja yang padat menjadi antara faktor persembahannya di peringkat separuh akhir menerima kritikan.
“Saya rasa perlu ambil sedikit masa untuk berehat dalam beberapa bulan akan datang. Sejak Disember tahun lepas hingga sekarang, saya hampir tidak berhenti bekerja.
“Kalau rezeki datang, saya teruskan selagi mampu. Tapi dalam masa sama, saya hargai keprihatinan semua dan akan cuba buat yang terbaik.
“Mungkin memang sudah sampai masa untuk saya berehat seketika, tetapi dalam tempoh itu saya tetap akan terus berkarya,” katanya.
Aisha berkongsi perkara itu sejurus selesai pusingan AJL 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) yang berlangsung di Studio Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.
Mengulas kritikan netizen terhadap vokal dan tenaga ketika membawakan lagu Tak Adil di pentas AJL40 SA, Aisha mengakui sudah menjangkakan reaksi tersebut lebih awal.
“Saya akui memang penat dan selepas persembahan saya sudah bersedia untuk menerima komen begitu. Keadaan itu mungkin dipengaruhi jadual kerja yang sangat padat, termasuk komitmen sekitar Jodoh Lebaran.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Apabila diumumkan layak ke AJL, saya sendiri terkejut. Mungkin juri ada pertimbangan yang lebih menyeluruh dan profesional.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Kalau situasi sama berlaku lagi, mungkin saya perlu lebih menjaga diri, ambil suplemen yang sesuai serta pastikan persediaan mental dan fizikal lebih kuat,” ujarnya.





