Pemilihan lagu ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) bukan semata-mata bergantung pada kekuatan vokal, sebaliknya lebih menitikberatkan kualiti keseluruhan sesebuah karya.
Ketua juri AJL40 Separuh Akhir (AJL40 SA), Datuk Acis, menjelaskan lagu yang memiliki identiti unik dan kelainan tersendiri lebih mudah menonjol di mata panel juri.
“Kita bermula dengan 30 lagu, kemudian melalui proses penilaian awal sebelum disenarai pendekkan kepada 20 lagu. Ada beberapa karya seperti ‘Cak Cak Cekuk’, ‘Ke Mana Ni’ dan ‘Tiwikarma’ yang jelas berbeza.
“Lagu-lagu ini memang menonjol dan secara semula jadi lebih mudah diberikan markah lebih tinggi kerana keunikan itu. Kita tidak mencari juara yang bunyinya serupa, sebaliknya mahukan sesuatu yang segar dan lain daripada yang lain,” katanya.
Mengulas aspek vokal, Acis berkata elemen tersebut hanya menyumbang peratusan kecil dalam pemarkahan kerana fokus utama AJL adalah pada kekuatan lagu itu sendiri.
“Vokal hanya sekitar 10 peratus. Ini pertandingan lagu, jadi penilaian lebih tertumpu kepada komposisi, lirik dan produksi.
“Nyanyian tetap diambil kira, terutama dalam persembahan langsung kerana ada kategori Vokal Terbaik. Memang ramai penyanyi hebat yang tampil dengan kemampuan vokal luar biasa,” jelasnya.
Panel juri profesional bagi separuh akhir AJL40 dipengerusikan oleh Acis bersama LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis.
Dalam masa sama, Acis turut mengakui persaingan dalam kalangan 20 lagu terbaik sangat sengit dengan jurang markah yang amat kecil.
“Kriteria penilaian melibatkan komposisi, susunan muzik, produksi, lirik dan melodi. Tetapi apa yang paling ketara, perbezaan markah antara lagu sangat tipis.
“Daripada kedudukan pertama hingga ke tempat ke-10, jaraknya sekitar tujuh hingga lapan markah sahaja. Jadi persaingan memang sangat rapat dan semua yang terpilih ini adalah rezeki masing-masing.
“Alhamdulillah, saya rasa keputusan ini memuaskan. Sudah tentu akan ada pihak yang kurang bersetuju, itu perkara biasa dalam mana-mana pertandingan. Apa yang penting, ini adalah keputusan terbaik yang mampu diberikan,” katanya lagi.
Mengulas pengaruh tular di media sosial, Acis menegaskan faktor tersebut bukan penentu utama dalam pemilihan ke pentas akhir.
“Kami tidak memilih lagu hanya kerana ia viral. Keutamaan diberikan kepada keunikan dan kekuatan lagu itu sendiri.
“Kami mahu karya yang boleh diingati untuk jangka masa panjang. Viral selalunya bersifat sementara, tetapi kami mencari lagu yang malar segar dan kekal di hati pendengar,” ujarnya.





