‘Mengapa kini ia dipertikaikan?’ – Postecoglou bidas Wenger

‘Mengapa kini ia dipertikaikan?’ – Postecoglou bidas Wenger


PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, menyelar kenyataan bekas Ketua Jurulatih Arsenal, Arsène Wenger, yang mempertikai dasar kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara bagi juara Liga Europa.

Wenger, yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mencadangkan agar Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menilai semula peraturan yang membolehkan juara Liga Europa layak secara langsung ke saingan teratas kelab Eropah itu pada musim berikutnya.

Beliau berpendapat bahawa pasukan yang menjuarai Liga Europa seharusnya hanya diberikan tempat dalam kejohanan yang sama pada musim berikutnya dan bukannya ke pentas elit Eropah.

“Saya tidak bersetuju, khususnya dalam konteks Liga Perdana Inggeris yang kini membolehkan lima pasukan layak ke UCL. Perkara ini perlu dikaji dan difikirkan semula oleh UEFA.

“Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat bahawa insentif untuk layak ke Liga Juara-Juara adalah penting bagi mengekalkan daya tarikan dan motivasi dalam saingan Liga Europa,” ujar Wenger.

Postecoglou dalam maklum balasnya menyifatkan Tottenham sering menjadi sasaran kritikan dan cemuhan, malah menjadi pencetus kepada pelbagai perdebatan.

“Perbahasan ini bukan baharu, sekurang-kurangnya dalam tempoh lapan hari kebelakangan ini. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar isu ini dibangkitkan. Namun apabila nama Tottenham disebut, orang seolah-olah hilang pertimbangan.

“Masukkan sahaja nama kelab ini dalam mana-mana topik, pasti akan timbul kritikan. Beginilah nasib Spurs mereka gemar dijadikan bahan bualan.

“Peraturan pertandingan ini telah lama diguna pakai. Jika dahulu ia tidak menjadi isu, mengapa kini ia dipertikaikan? Tahun lalu, pasukan di tempat kelima tidak layak ke Liga Juara-Juara, tahun ini layak pula. Apa bezanya? Apa maknanya?,” kata pengendali dari Australia itu.

Tottenham kini berada dalam kedudukan selesa selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bodo/Glimt dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa akan berdepan kelab Norway itu di Stadium Aspmyra, Norway, pada Jumaat ini.

Namun begitu, prestasi Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini agak mengecewakan apabila sekadar menghuni tangga ke-16.

Manchester United pula berada di tempat ke-15 meskipun turut mencatat kemenangan 3-0 ke atas gergasi La Liga Sepanyol, Athletic de Bilbao dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kedua-dua pasukan tidak berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka layak ke pentas Eropah melalui liga, namun masing-masing berpeluang merebut tempat ke Liga Juara-Juara sekiranya berjaya menjulang trofi Liga Europa.

Pemenang kedua-dua perlawanan separuh akhir akan bertemu di Stadium San Mames, Bilbao, pada 22 Mei nanti.

Dalam perkembangan lain, Tottenham menerima tamparan hebat apabila pemain tengah utama, James Maddison, disahkan tidak akan beraksi lagi sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan pertama menentang Bodo/Glimt.

Namun begitu, pasukan tersebut mendapat sedikit kelegaan apabila penyerang utama, Dominic Solanke, dijangka kembali cergas menjelang perlawanan kedua selepas mengalami kecederaan ringan pada bahagian paha dalam perlawanan lalu.

LIGA EUROPA

SEPARUH AKHIR KEDUA

JUMAAT (9 MEI)

Manchester United (3) lwn (0) Athletic Bilbao

(Stdm Old Trafford, 3 pagi)

Bodo/Glimt) 1) lwn (3) Tottenham Hotspur

(Stdm Aspmyra, 3 pagi)

* Dalam kurungan keputusan perlawanan separuh akhir pertama



Source link

OR

Scroll to Top