Pelakon, Intan Najuwa tampil bersuara mengenai isu penderaan kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di bawah jagaan pengasuh, sambil mengingatkan individu yang memilih kerjaya tersebut agar benar-benar bersedia dari segi mental dan emosi.
Menerusi satu ciapan balas di platform Threads, Intan menegaskan tugas sebagai pengasuh bukan perkara remeh, apatah lagi apabila melibatkan bayi dan kanak-kanak yang masih memerlukan perhatian penuh.
“Kalau nak jadi pengasuh, pastikan kesihatan mental berada dalam keadaan stabil dan mampu menjaga kanak-kanak, terutamanya bayi. Jika tidak mampu mengendalikan tekanan, lebih baik cari pekerjaan lain. Jangan aniaya anak orang,” katanya.
Dalam masa sama, Intan turut menggesa netizen agar lebih memahami situasi golongan ibu yang terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan anak di bawah jagaan pengasuh.
“Tiada ibu yang sengaja mahu keluar bekerja dan meninggalkan anak mereka. Kebanyakannya memang tidak mempunyai pilihan lain.
“Ia soal kelangsungan hidup, demi hari ini dan masa depan anak mereka. Jadi tolong ada empati,” ujarnya.







