SHAH ALAM: Mercure KL Glenmarie menyasarkan kehadiran kira-kira 200 pengunjung sehari sepanjang tempoh Ramadan tahun ini menerusi bufet berasaskan masakan kampung Selangor.
Dengan bertemakan Sajian Darul Ehsan, bufet Ramadan kali ini dijangka menjadi tarikan utama buat pencinta juadah tradisional yang mencari kelainan dan keaslian rasa dari negeri berkenaan.
Pengurus Besarnya, Puvan Abdullah berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima pada penganjuran tahun-tahun sebelum ini selain tarikan menu yang unik.
“Ini merupakan kali ketiga kami menganjurkan bufet Ramadan dengan tema yang sama. Kami mengetengahkan keunikan makanan dari sembilan daerah berbeza di Selangor bagi memberikan pengalaman autentik kepada tetamu.
“Setiap daerah mempunyai identiti rasa yang tersendiri dan kami cuba himpunkan kesemuanya di bawah satu bumbung,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya optimis untuk mencatatkan peningkatan jualan yang signifikan pada tahun ini berbanding prestasi tahun lalu.
“Dari segi sasaran jualan, kami menjangkakan peningkatan sekitar 30 peratus berbanding tahun sebelumnya. Fokus kami adalah untuk memastikan kualiti masakan sentiasa memuaskan hati pelanggan lama dan baharu,” katanya.
Bagi memastikan tawaran kekal kompetitif dalam persekitaran ekonomi semasa, Mercure KL Glenmarie memperkenalkan struktur harga dinamik termasuk kadar ‘Super Deal’ serendah RM98+ untuk 500 baucar terawal (sah sehingga 31 Januari 2026) dan kadar pembelian awal (early bird) RM128+ sehingga 23 Februari 2026.
Harga asal ditetapkan pada RM158+ bagi dewasa, manakala warga emas dan kanak-kanak masing-masing pada harga RM98+ dan RM68+.
Menurutnya, tawaran promosi beli 10 percuma 1 turut diperkenalkan bagi menarik minat segmen korporat dan kumpulan besar untuk menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel tersebut.
Dalam pada itu, Cef Eksekutif, Zaharullail Ashari berkata, setiap hidangan di restoran WARNA All Day Dining, yang telah menerima pensijilan Halal sepenuhnya oleh JAKIM, disediakan dengan teliti bagi mengekalkan keaslian resipi tradisi.
Antara hidangan yang dihidangkan termasuk Nasi Ambeng Sabak Bernam, Siakap Purbakala dari Klang, serta Kambing Salai dari Hulu Langat.
Bufet Ramadan di Mercure KL Glenmarie ini akan mula dibuka kepada orang ramai bermula 23 Februari hingga 19 Mac 2026.
Selain tawaran bufet, hotel tersebut turut memperkenalkan Pakej Penginapan Ramadan bermula RM268+, sebagai langkah untuk meningkatkan kadar penginapan bilik sepanjang bulan tersebut.-UTUSAN






