Merdeka daripada nafsu, ‘syaitan’ digital

Merdeka daripada nafsu, ‘syaitan’ digital


FITNAH zina lebih dahsyat daripada membunuh, begitulah peringatan al-Quran yang dinyatakan secara jelas menerusi ayat ke-191 surah al-Baqarah.

Namun, saat seluruh rakyat Malaysia gembira menyambut Kemerdekaan ke-68 dan Jalur Gemilang berkibar megah, kita dikejutkan dengan berita yang merobek jiwa apabila seorang anak bangsa dan kawan-kawannya berusia 12 tahun berhenti sekolah untuk menjual tubuhnya di media sosial.

Apalah ertinya lebih enam dekad merdeka jika generasi muda kita masih lagi terbelenggu? Lebih menyedihkan lagi, mereka bukannya dijajah oleh penjajah asing, tetapi nafsu syahwat, kerakusan teknologi dan budaya songsang.

Apakah merdeka sekadar pada upacara, sementara jiwa anak-anak kita dijajah tanpa belas kasihan?

**media[3254818]**

Merdeka atau dijajah nafsu?

Ungkapan merdeka yang dilaungkan sering dianggap masyarakat bahawa kita bebas daripada penjajahan, tetapi Islam mengajar bahawa kemerdekaan sejati adalah bebas daripada perhambaan nafsu.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu satu perbuatan keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

Hari ini, jalan itu bukan lagi lorong gelap yang tersembunyi, tetapi terbuka luas di hujung jari anak-anak. Walaupun kita merdeka daripada kuasa asing, tetapi dijajah ‘syaitan’ digital dan itulah hakikat pedih bangsa merdeka yang hampir hilang jati diri.

Sedangkan sejarah bangsa kita sarat dengan pengorbanan darah para pahlawan seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Dol Said, Tok Kenali dan ramai lagi.

Bayangkan mereka sanggup mengangkat parang, menentang bedilan peluru, mempertahankan maruah bangsa dan agama. Mat Kilau misalnya, berjuang di hutan belantara menentang penjajah dan rela lapar demi tanah air, manakala Datuk Bahaman menentang British meskipun diburu tanpa belas kasihan.

Mereka mempertahankan maruah dengan darah, bukan menjual maruah demi wang. Bahkan, rela mati asalkan bangsa merdeka.

**media[3254816]**

Malangnya selepas 68 tahun negara diisytiharkan bebas, seorang anak kecil bangsa sendiri rela berhenti sekolah untuk ‘menjual tubuh’.

Tidakkah itu melukakan semangat kemerdekan dan pengkhianatan terhadap darah pejuang yang tumpah di bumi pertiwi?

Benteng moral yang runtuh

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Di mana kepimpinan kita? Ibu bapa membiarkan anak bulat-bulat bersama gajet tanpa pantauan, sekolah pula sibuk mengejar gred berbanding tarbiah dan negara fokus kepada membangunkan pencakar langit, tetapi gagal mempertahankan akhlak generasinya.

Pakar psikologi Islam, Profesor Malik Badri pernah menegaskan, runtuhnya akhlak generasi moden berpunca daripada hilangnya muraqabah iaitu kesedaran bahawa ALLAH SWT sentiasa melihat. Tanpa muraqabah, kemerdekaan hanyalah kulit tanpa isi.

Hakikatnya, walaupun tindakan undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak dan penguatkuasaan polis sedang digerakkan, tetapi semua itu hanyalah pagar, sedangkan rumah kita sudah rapuh.

Sedangkan, merdeka menuntut akar yang kuat iaitu iman, akhlak dan pendidikan jiwa.

Seorang tokoh falsafah Islam, Profesor Tariq Ramadan mengingatkan: “Masalah umat moden bukan kekurangan sekolah, tetapi kekosongan hati.”

Justeru, kemerdekaan yang memasuki tahun ke-68 kini sepatutnya membuka mata kita bahawa cabaran bangsa hari ini bukan lagi bedilan peluru, tetapi godaan skrin dan nafsu. Maka:

1. Keluarga mesti menjadi kubu pertama, mendidik anak dengan agama sejak kecil.

2. Sekolah mesti meletakkan pendidikan akhlak sebagai nadi, bukan sisipan.

**media[3254817]**

3. Negara mesti tegas mengawal media sosial, menutup pintu laman lucah dan menghukum sindiket.

4. Masyarakat mesti kembali hidup dengan budaya menegur, bukan membiarkan anak jiran terbiar tanpa peduli.

Apapun, kemerdekaan tidak boleh dilihat sekadar bunga api di langit malam atau laungan patriotik di stadium. Sebaliknya, kemerdekaan sebenar adalah apabila anak-anak kita terpelihara maruahnya, bersinar imannya dan teguh akhlaknya.

Usah biarkan kemerdekaan itu menjadi sia-sia kerana generasi pewaris bangsa sudah rosak sebelum dewasa.

Mengertilah, kemerdekaan tanpa iman adalah fatamorgana. Kemerdekaan tanpa akhlak pula adalah kehancuran.

Marilah kita bangkit menjaga generasi muda kerana kemerdekaan sebenar ialah merdeka daripada dijajah nafsu dan dosa.

Bangsa yang hilang akhlak tidak lagi merdeka meski benderanya berkibar di puncak.

Maka, ayuh sama-sama kita meneguhkan tekad untuk merdeka daripada penjajahan nafsu dan godaan ‘syaitan’ digital.

Sebaliknya, gantikan pula merdeka dengan iman, ilmu dan akhlak. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

*Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman



Source link

OR

Scroll to Top