Meru belajar dari luka 2023, hadapi Seksyen 19

Meru belajar dari luka 2023, hadapi Seksyen 19


KEKECEWAAN tewas di pentas final dua tahun lalu masih segar dalam ingatan SMK Meru dan kini menjadi bara semangat untuk jagoan Klang itu menebus kehampaan dengan memburu kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) menentang SMK Seksyen 19, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini.

Penolong pengendali SMK Meru, Mat Hassan Mat Rofi berkata, pasukan pusat latihan daerah (PLD) itu pernah merasai kekecewaan apabila tumpas kepada SMK Shah Alam final edisi 2023 menjadikannya pengalaman dan pengajaran terbaik buat pemain.

“Dua tahun lalu edisi 2023, pasukan ini layak ke final B-15 namun kita dikecewakan SMK Shah Alam.

“Saya percaya pengalaman itu menjadi penguat semangat dan pengajaran serta mematangkan pasukan ini untuk bergelar juara pada final kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

SMK Meru sebelum itu mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 selepas menyingkirkan cabaran SMK Telok Panglima Garang, 3-2 pada Khamis.

Mengulas pertemuan dengan Seksyen 19 pasukan ‘pembunuh gergasi’ dari Shah Alam, Mat Hassan menegaskan fokus bertahan menjadi kunci utama untuk mengekang kelebihan lawan yang cukup berbahaya menerusi situasi bola mati.

“Untuk perlawanan final nanti pemain perlu kekal fokus terutama semasa bertahan, jangan beri banyak ruang kepada lawan serta kurangkan kesalahan yang boleh menghadiahkan sepakan percuma.

“Kita akui Seksyen 19 pakar dalam bola mati dan banyak gol mereka berpunca daripada sepakan percuma,” jelasnya.

Pada masa sama, Mat Hassan turut mengharapkan kehadiran penyokong khususnya pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru SMK Meru serta penduduk sekitar Meru juga Klang untuk bersama-sama membanjiri Stadium MBPJ bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan SMK Meru.

Sebagai rekod, kejohanan tahunan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.

INFO

SMK MERU ROAD TO PETALING JAYA

KUMPULAN C

SMK Meru 1-1 SMK Dato’ Harun

 

SMK Meru 2-0 SMK Seksyen 4 Kota Damansara

 

SMK Meru 1-1 SMK Sungai Besar

* SMK Meru mara pusingan 16 setelah muncul juara kumpulan C

PUSINGAN 16

 

SMK Meru 4-0 SMK Kuala Kubu Bharu

SUKU AKHIR

 

SMK Meru 1-0 SMK Jalan Reko

SEPARUH AKHIR

 

SMK Telok Panglima Garang 2-3 SMK Meru

 



Source link

OR

Scroll to Top