LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2026/2027.
Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu membolehkan setiap kelab mendaftarkan maksimum 38 pemain, berbanding 33 sebelum ini, dengan 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.
MFL berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal berdepan jadual padat di pentas domestik serta antarabangsa.
Kedua-dua kelab berkenaan akan mewakili Malaysia dalam kejohanan kelab Asia dan ASEAN, termasuk Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta ACL 2, sekali gus memerlukan skuad yang lebih mantap.
“Penambahan lima kuota baharu ini adalah khusus untuk pemain berstatus tempatan sahaja serta mematuhi syarat-syarat Financial Fair Play (FFP),” kata MFL dalam kenyataan.
Menurut MFL, langkah itu turut mengambil kira kedudukan Kuching City yang tidak mempunyai pasukan ‘Reserve Club’ dan bergantung kepada skuad Piala Presiden serta Piala Belia.
Penambahan kuota tersebut juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, termasuk pemain Piala Presiden dan Piala Belia yang sudah melepasi had umur.
MFL menjelaskan jumlah 38 pemain itu merupakan had maksimum dan bukan kewajipan untuk dipenuhi setiap kelab. Pendaftaran tetap bergantung kepada keperluan serta kemampuan kewangan pasukan.
“Pendaftaran pemain adalah tertakluk kepada keperluan, kemampuan kewangan kelab serta pematuhan terhadap mekanisme Financial Fair Play (FFP), termasuk pelaksanaan ‘Salary Cap’ sebanyak 80 peratus bagi musim 2026–2027,” katanya.
Kuota minimum pendaftaran kekal 20 pemain, manakala kuota pemain asing tidak berubah pada 15 orang.
Jendela pendaftaran pertama Liga M 2026/2027 pula akan ditutup pada 3 September ini.
